Buletin

100 BAS PERSIARAN, 5,00 PELANCONG ASING TERPERANGKAP 5 JAM DALAM KESESAKAN DI CIQ GELANG PATAH

Lebih 100 bas persiaran serta kira-kira 5,000 pelancong asing didakwa terperangkap dalam kesesakan enam jam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini, semalam.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R Thiagarajan, berkata kesesakan luar biasa itu menyebabkan bukan sahaja pelancong merungut malah menjejaskan jadual perjalanan bas persiaran.

Kebanyakan bas pesiaran itu membawa pelancong asing menuju destinasi pelancongan utama negara termasuk Genting Highlands serta ibu negara.

“Saya menerima puluhan aduan dari syarikat pelancongan dan pemilik bas persiaran yang kecewa berikutan kesesakan terlalu lama di pintu masuk negara di KSAB akibat kaunter pemeriksaan Imigresen yang dibuka tidak banyak.

“Situasi itu sangat menjejaskan imej negara yang mahu menarik kemasukan pelancong asing apatah lagi mereka terpaksa beratur antara empat hingga enam jam semata-mata untuk pemeriksaan Imigresen.

“Kita memang jangkakan kesesakan kerana kemasukan pelancong asing dari Singapura dari pintu masuk di Johor Bahru meningkat berikutan cuti umum Good Friday sejak Jumaat lalu.

“Jika kesesakan luar biasa disebabkan kemalangan itu boleh difahami, namun jika kesesakan sehingga lebih enam jam berikutan proses pemeriksaan Imigresen kerana kakitangan tidak cukup, ia agak memalukan negara sebenarnya,” katanya.

Sejak semalam tular di media sosial, luahan pemandu bas persiaran yang terperangkap di CIQ KSAB yang terletak di Laluan Kedua (Second Link) Malaysia-Singapura, di Gelang Patah.

Dalam pada itu, Thiagaraja berharap, kerajaan negeri memberi perhatian terhadap kesesakan di CIQ KSAB yang semakin kerap berlaku pada hujung minggu serta musim perayaan.

“Jika sebelum ini kesesakan hanya dua tiga jam itu memanglah dijangka dan difahami, namun jika sampai lebih lima jam adalah agak melampau.

“Kita berharap kerajaan negeri tidak hanya menumpukan kesesakan di Tambak Johor sahaja kerana kesesakan di Second Link juga semakin buruk,” katanya.

Pada 22 Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata, empat zon penggabungan kaunter akan diwujudkan di Tambak Johor bagi mempercepat kemasukan kenderaan.

Beliau dipetik berkata, inisiatif baharu untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor itu sedang diperincikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen). – Harian Metro

Google ads
Back to top button