Buletin

M-SPORT FORD BERSEDIA UNTUK MENYERLAHKAN LAGI POTENSI FORD PUMA RALLY1. OTT TANAK SAHIH BERSAMA

Prestasi pasukan M-Sport Ford musim ini dilihat kurang menyerlah berbanding dua pasukan utama lain, Toyota Gazoo Racing dan juga Hyundai Motorsport dalam perlumbaan World Rally Championship (WRC) musim ini. Namun Prinsipal pasukan, Richard Millener pula yakin akan kemampuan jentera Ford Puma Rally1 mereka.

Menurut Richard Millener, beliau yakin akan kemampuan sebenar jentera rali generasi baharu ini memandangkan ini adalah musim pertama era perlumbaan hibrid. Di awal perlumbaan kempen WRC musim ini, pasukan M-Sport Ford berjaya mengejutkan ramai pihak apabila mereka memenangi perlumbaan pembukaan di Monte Carlo melalui Sebastian Loeb.

“Kemenangan Monte Carlo melalui Seb (Loeb) adalah sangat istimewa. Dan Seb berterusan menunjukkan kemampuan berlumba dengan mendahului dan potensi sebenar Ford Puma setiap kali beliau memandunya”, ujar Richard Millener.

Sungguh pun demikian, prestasi pemandu M-Sport Ford yang lain seperti Gus Greensmith dan juga Pierre-Louis Loubet tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Masih berupaya mengutip beberapa pungutan mata penting. Begitu juga dengan sumbangan daripada mantan pelumba mereka, Craig Breen yang berjaya menaiki podium dua kali di Monte Carlo dan juga Itali. Musim hadapan, Craig Breen bakal kembali semula menyertai pasukan Hyundai Motorsport.

Dalam pada itu, pasukan M-Sport Ford pun mengesahkan kehadiran Ott Tanak dalam pasukan bagi menghadapi saingan musim hadapan. Perbincangan mengenai kehadiran semula Ott Tanak ke M-Sport Ford telah pun bermula sebaik sahaja tamat perlumbaan di Jepun tempohari. Ott Tanak sebelum ini berlumba untuk pasukan Hyundai Motorsport selama tiga musim setelah meninggalkan pasukan Toyota Gazoo Racing.

Untuk rekod, Ott Tanak pernah bersama dengan pasukan M-Sport Ford pada tahun 2011 dengan memandu jentera Ford Fiesta S2000. Setahun kemudiannya Ott Tanak telah dinaikkan pangkat ke pasukan utama untuk memandu Ford Fiesta RS WRC.

Bagi menghadapi saingan WRC 2023, Ott Tanak bakal berlumba semusim penuh 13 pusingan. Dan orang yang paling gembira dengan keputusan ini, sudah pasti Pemilik pasukan Malcolm Wilson setelah berjaya mendapatkan semula bintang yang pernah diasuhnya suatu ketika dahulu. Menurut khabar, Ott Tanak telah pun memandu uji jentera Ford Puma Rally1 di Greystoke Forest.

Cumanya sekarang ini pasukan ini masih belum mengesahkan lagi siapakah gandingan bagi Ott Tanak musim hadapan. Kena tunggu lagilah jawabnya.

BACA : M-SPORT FORD MENGIKAT PIERRE-LOUIS LOUBERT UNTUK TUJUH PUSINGAN

BACA : SAHIH! SEBASTIAN LOEB MEMBUAT KEMUNCULAN SEMULA WRC BERSAMA M-SPORT FORD

Google ads

B K

Back to top button