Buletin

SAHIH! SEBASTIAN LOEB MEMBUAT KEMUNCULAN SEMULA WRC BERSAMA M-SPORT FORD

Pelumba lagenda dan handalan World Rally Championship (WRC) dari Perancis, Sebastian Loeb akhirnya mengesahkan untuk kembali membuat kemunculan sensasi untuk beraksi semula dalam WRC pada perlumbaan pembukaan pada penghujung Januari 2022 di Rallye Monte-Carlo sekaligus kembali menghangatkan perseteruan bersama seorang lagi lagenda, Sebastian Ogier.

Pemandu yang dianggap paling berjaya dalam sejarah WRC, Sebastian Loeb bersetuju untuk menyertai kem M-Sport Ford dan bakal memandu jentera lumba hibrid serba baharu Ford Puma Rally1. Sebelum ini, Sebastian Loeb sudah beberapa kali dilihat memandu uji jentera prototaip Ford Puma Rally1 tetapi tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat tentang status penyertaan beliau bagi kempen WRC 2022.

Sebastian Loeb, juara WRC sembilan kali bakal bergandingan bersama Juruarah baharu, Isabelle Galmiche yang juga merupakan salah seorang krew lama beliau sebelum ini. Gandingan baharu ini direncanakan susulan daripada gandingan lama Sebastian Loeb, Daniel Elena yang mengambil keputusan untuk bersara.

Dengan perkhabaran ini, Sebastian Loeb bakal memandu jentera Ford Puma Rally1 keempat berserta gandingan yang lain seperti Craig Breen, Adrien Fourmaux dan juga Gus Greensmith untuk beraksi di pembukaan Rallye Monte-Carlo.

Sebastian Loeb sebelum ini telah pun menguji jentera hibrid baharu sewaktu di Sepanyol pada Oktober dan juga Banjaran Alps pada bulan November yang lalu sekali gus memberikan perkhabaran bahawa lagenda ini bakal kembali ke WRC.

Rallye Monte-Carlo akan menjadi kemunculan pertama semula selepas beliau berlumba untuk pasukan Hyundai Motorsport secara sambilan selama dua tahun dan tamat pada tahun 2020. Selepas WRC, Sebastian Loeb berlumba di Dakar Rally untuk pasukan Prodrive Raid Extreme Team.

Sebastian Loeb sebetulanya hampir menyertai Malcolm Wilson (Prinspial Pasukan M-Sport Ford) ketika beliau berlumba untuk Citroen Total dan memenangi WRC pada 2004. Namun Sebastian Loeb memutuskan untuk kekal bersama Citroen dan terus menambah lapan lagi kejuaraan WRC dalam resume beliau.

Namun hasrat Malcolm Wilson baharu kini dapat direalisasikan. Apa mungkin penama Sebastian Loeb, Red Bull akan terus melekat bersama jentera Ford Puma Rally1 nanti?

Yang pasti, Rallye Monte-Carlo bakal menyaksikan Sebastian Loeb bakal bertarung dengan Sebastian Ogier yang akan turut membuat penampilan pada Januari nanti. Pasti menarik.

BACA : UNTUK APA SEBASTIAN LOEB MENGUJI JENTERA FORD PUMA RALLY1?

BACA : WRC 2019 : SEBASTIAN OGIER KEMBALI BERSAMA CITROEN, SEBASTIAN LOEB SERTAI HYUNDAI

Google ads

B K

Back to top button