Buletin

FON KEPALA Px8 MCLAREN EDITION, RM3.7K UNTUK HALWA TELINGA BOWERS & WILKINS

Bermain dengan sistem audio berkualiti tinggi sememangnya memerlukan perbelanjaan besar. Nikmat bunyian yang sempurna adalah suatu yang mengasyikkan.

Di antara jenama audio premium dan terkenal di pasaran ialah Bowers & Wilkins dari United Kingdom (UK). 

Terbaru Bowers & Wilkins memperkenalkan set fon kepala tanpa wayar Px8 McLaren Edition.

Bowers & Wilkins dan McLaren telah lama bekerjasama atau lebih tepat lagi sejak tahun 2015 bagi membangunkan sistem audio berprestasi tinggi untuk kereta super dan hiper McLaren.

Satu kelebihan Bowers & Wilkins terletak pada pegangannya yang mahukan ketulenan bunyi seperti rakaman asli sebaik mungkin tanpa mengubah atau menggangu bunyian asal.

Usaha ke arah kesempurnaan yang diterapkan oleh John Bowers selaku pengasas syarikat masih lagi dipegang sehingga hari ini.

Dari segi rekaan, fon kepala Px8 McLaren Edition membawa kemasan kelabu Galvanic dan riasan jingga Papaya yang sinonim dengan kereta lumba Bruce McLaren.

Fon kepala ini menggunakan unit Carbon Cone 40 milimeter (mm) rekaan khas yang diinspirasikan dari teknologi yang digunakan pada pembesar suara Bowers & Wilkins.

Unit pacuan (drive unit) yang menghasilkan bunyi di dalam Carbon Cone dicondongkan dengan terperinci di dalam setiap cawan telinga (earcup).

Kaedah itu dibuat untuk memastikan jarak yang konsisten dengan telinga pendengar dari setiap sudut permukaan pacuan (driver) bagi menghasilkan bunyian yang mengasyikkan dan berketepatan tinggi.

Set fon kepala Px8 menggunakan teknologi tanpa wayar aptXTM Adaptive dari Qualcomm bagi mendapatkan kualiti bunyi terbaik daripada telefon, tablet dan komputer yang sepadan.

Selain sambungan tanpa wayar, set fon kepala ini boleh dihubung menggunakan USB-C dan kabel analog 3.5 mm.

Set fon kepala ini menggunakan Pemprosesan Isyarat Digital (DSP) yang dibangunkan sendiri oleh Bowers & Wilkins bagi memberikan kualiti bunyi resolusi tinggi 24 bit dari penyedia khidmat penstriman utama.

Turut digunakan teknologi pembatalan bunyi Bowers & Wilkins yang dioptimumkan bagi memadamkan bunyian asing tanpa menggangu muzik asal.

Tidak hanya memfokuskan pada pendengaran, Bowers & Wilkins turut memberi perhatian kepada suara dengan enam pembesar suara prestasi tinggi berfungsi secara bergandingan untuk memberi hasil terbaik.

Dua daripadanya mengukur output setiap unit pacuan, lagi dua bereaksi terhadap suara luar dan baki dua memberikan kejelasan suara dengan supresi bunyian.

Satu lagi ciri yang membantu pengguna ialah ialah aplikasi Muzik Bowers & Wilkins yang membolehkan pengguna membuat penstriman muzik terus dari peranti kepada fon kepala.

Aplikasi itu turut memudahkan sambungan fon kepala kepada peranti, penalaan bunyi melalui pelaras EQ, penetapan mod pembatalan bunyi dan juga mengawasi tahap pengecasan fon kepala.

Akhir sekali, berapa harga fon kepala Px8 McLaren Edition? 699 Pound Sterling atau bersamaan RM3,752.97.

Google ads
Back to top button