Buletin

TESLA KINI BERADA DI PASARAN THAILAND, TAWAR MODEL 3 DAN MODEL Y, HARGA BERMULA RM220K

Tesla telah melancarkan dua model kenderaan elektrik (EV) iaitu Model 3 dan Model Y di Thailand pada hari Rabu sekaligus membuka tempahan kepada pelanggan. Tesla menyasarkan penghantaran pertama akan dibuat pada suku pertama 2023.

Tesla turut membuka cawangan pop-up pertamanya di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, selain merancang untuk membina sekurang-kurangnya 10 stesen supercharging menjelang tahun depan.

Ia mendakwa bahawa supercharging boleh meningkatkan daya kereta untuk mengembalikan jarak sejauh 275 km dalam masa 15 minit sahaja.

Untuk Model 3, terdapat tiga varian tersedia di pasaran Thailand iaitu Rear-wheel drive, Long Range AWD dan Performance.

Rear-Wheel Drive dijual pada harga RM220,000, manakala Long Range AWD serta Performance di pasaran Thailand masing-masing bernilai RM250,000 dan RM289,000.

Rear-wheel Drive menampilkan motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 57.5 kWj dengan jarak pemanduan 559 km berdasarkan kitaran NEDC. Ia menghasilkan kuasa 342Hp dan 420Nm tork untuk masa 0-100 km/j selama 6.1 saat manakala kelajuan tertingginya dinilai pada 225 km/j.

Varian ini menyokong pengecasan AC sehingga 7.6kW serta pengecasan pantas DC sehingga 250kW.

Varian Long Range AWD dipacu oleh dua motor elektrik (masing-masing satu di hadapan dan belakang). Ia dikuasakan oleh bateri 75 kWj yang lebih besar dengan julat elektrik sehingga 681 km berdasarkan kitaran NEDC. Ia mampu menjana kuasa 506Hp dan 493Nm untuk mencapai masa 0-100 km/j selama 4.4 saat, dengan kelajuan tertinggi mencecah sehingga 233 km/j.

Varian Long Range AWD juga menyokong pengecasan AC sehingga 11.5 kW dan pengecasan DC sehingga 250 kW.

Varian Performance turut menampilkan dua motor elektrik untuk pacuan semua roda. Motor elektrik menghamburkan kuasa daripada bateri 75 kWj dengan jarak pemanduan sehingga 608 km berdasarkan kitaran NEDC, serta menyokong pengecasan AC sehingga 11.5 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 250 kW.  

Varian Performance ini mengambil masa 3.3 saat untuk 0-100 km/j dan mencatat kelajuan tertinggi pada 261 km/j.

Seperti Model 3, Model Y juga boleh didapati dalam tiga varian. Untuk Rear-Wheel Drive, ia dijual pada harga RM245,000, Long Range AWD berharga daripada RM283,000 manakala varian Performance datang dengan tanda harga RM314,000.

Varian Rear-Wheel Drive mendapat motor elektrik yang dipasang di belakang dengan output 342Hp dan 420Nm tork. Ia memperoleh kuasa daripada bateri litium-ion 57.5 kWh dengan julat elektrik sehingga 510 km berdasarkan kitaran NEDC serta menyokong pengecasan pantas sehingga 7.6 kW AC dan 250 kW DC. Varian ini hanya mengambil masa 6.9 saat untuk 0-100 km/j dengan kelajuan tertinggi 217 km/j.

Bagi varian Long Range dan Perfomance dwi-motor, kedua-duanya dilengkapi dengan bateri 75 kWh serta menyokong pengecasan pantas sehingga 11.5 kW AC dan  250 kW DC. Bagi output, varian Long Range menghasilkan 506Hp manakala varian Performance menjana kuasa 526Hp. Kedua-dua varian menghasilkan 493 Nm tork.

Varian Long Range mencatat 0-100 km/j dalam lima saat dengan kelajuan tertinggi 217 km/j manakala varian Performance lebih pantas, iaitu 3.7 saat, dengan kelajuan tertinggi 250 km/j. Sesuai dengan namanya, versi Long Range menawarkan jarak pemanduan sehingga 623km sementara Performance menawarkan jarak sehingga 582 km.

Google ads
Back to top button