
MAA JANGKA TIV JUALAN KENDERAAN TAHUN 2022 CECAH 630,000 UNIT
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak naik unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) kenderaan kepada 630,000 unit tahun ini, 30,000 unit lebih tinggi berbanding sasaran awal 600,000 unit yang ditetapkan awal tahun ini.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad, berkata semakan naik TIV tahun ini dilakukan bersandarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan selepas merekodkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2022.
Beliau berkata, sokongan dasar kerajaan yang konsisten, khususnya menerusi inisiatif di bawah Bajet 2022 serta limpahan daripada Bajet 2021, pakej rangsangan dan bantuan sebelum ini akan menyokong ekonomi negara menjadi bertambah baik pada separuh kedua tahun ini.
Dengan peralihan lancar ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa, banyak sektor menunjukkan tanda pertumbuhan dalam aktiviti perniagaan, walaupun belum mencapai tahap sebelum pandemik.
“Pelbagai pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan kesan buruk COVID-19 dan memulihkan aktiviti ekonomi sangat membantu.
“Bagi industri automotif, walaupun tempoh cuti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembeli kereta menikmati pengecualian yang sudah berakhir, ahli MAA berbesar hati kerana kerajaan berkuasa telah melanjutkan tempoh manfaat pengecualian dengan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Mac 2023 apabila menempah sehingga 30 Jun lalu.
“Langkah ini sememangnya positif kerana ia akan membantu industri automotif memenuhi tempahan yang tertunggak dan pada masa yang sama membolehkan rakyat menikmati kereta harga yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi pasaran automotif bagi separuh pertama 2022 secara maya, baru-baru ini.
Daripada jumlah unjuran baharu MAA tahun ini, kenderaan penumpang dijangka menyumbang 567,000 unit, manakala kenderaan komersial pula 63,000 unit. Unjuran angka TIV lebih baik tahun ini juga akan dipacu oleh pengenalan model baharu dan kenderaan elektrik penuh yang ditawarkan pada harga yang berpatutan dan kompetitif, sekali gus mendorong minat belian.
Bagaimanapun, insiden yang timbul daripada ketegangan geopolitik, kenaikan harga minyak, kebimbangan inflasi, kenaikan harga makanan, kenaikan kos logistik dan penghantaran serta gangguan rantaian bekalan mungkin menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara dan seterusnya permintaan pengguna terhadap kenderaan baharu.
“Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 6 Julai lalu untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus mungkin menjejaskan keyakinan pengguna.
“Perniagaan juga mungkin menangguhkan pelaburan disebabkan keadaan yang tidak menentu ketika ini di peringkat global, termasuk senario politik tanah air di mana ramai penganalisis menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung tahun ini.
“Masalah kekurangan komponen dan cip yang berterusan juga boleh menjejaskan pengeluaran kenderaan bermotor sepanjang tahun,” katanya. – Berita Harian








