
MAA JANGKA HARGA KERETA DI MALAYSIA NAIK. RINGGIT LEMAH DAN MASALAH BEKALAN CIP TERUS JADI PUNCA
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad sekali lagi menyatakan bahawa harga kenderaan di Malaysia dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah susulan kelemahan nilai ringgit dan isu kekurangan bekalan cip komputer yang berterusan.
Keadaan akan bertambah buruk jika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat akhir bulan ini tidak disambung.
Terdapat juga cadangan oleh pakar dan peserta pasaran supaya pengecualian SST dilanjutkan sehingga akhir tahun ini bagi menyokong permintaan di tengah-tengah kekangan bekalan cip semikonduktor yang memberi kesan kepada pengeluaran kenderaan.
Dengan cakap-cakap mengenai sama ada pengecualian SST dilanjutkan atau tidak belum berakhir, wujud pula ramalan bahawa harga kereta dijangka meningkat sehingga tiga peratus jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula, kesan sebaliknya berbanding pelaksanaan SST pada 2018.
Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.
Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU. Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021. Pada 31 Mei 2021, kerajaan sekali lagi bersetuju melanjutkan pengecualian cukai sama sehingga 31 Disember 2021.
Bagaimanapun, sebelum tempoh insentif itu berakhir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan memutuskan melanjutkan pengecualian cukai sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, selain meringankan beban rakyat. – Berita Harian