Buletin

MG4 EV DEBUT 5 OGOS DI CHINA – DUA VARIAN, JARAK GERAK 537KM, HARGA MASIH RAHSIA

Model MG4 elektrik serba baharu telah mula kelihatan di bilik pameran di seluruh China, menandakan kemunculan pertamanya menjelang pra-jualan rasmi yang dijadual bermula pada 5 Ogos, menurut laporan Sohu Auto.

Hatchback elektrik kompak ini menerima naik taraf menyeluruh termasuk rekaan luaran baharu, teknologi dalaman terkini, dan sistem kuasa yang dipertingkat. Pelancaran penuh ke pasaran dijangka diadakan awal September.

Sebagai reaksi kepada kejayaan model seperti BYD Dolphin, MG4 generasi baharu ini merupakan usaha terkini SAIC Motor untuk memperkukuh kehadirannya dalam pasaran EV kompak domestik.

Menerusi gambar yang tersebar dalam talian, MG4 baharu kini tampil dengan rekaan hadapan lebih bulat bersama gril tertutup, lampu utama LED berbentuk titisan air mata, serta logo MG beriluminasi. Gril bawah berbentuk trapezoid, penebat udara berbentuk C dan bampar berprofil sporty memberikan imej segar kepada model ini.

Dari segi dimensi, MG4 baharu berukuran 4,395mm panjang, 1,842mm lebar, dan 1,551mm tinggi, dengan jarak roda 2,750mm — lebih besar daripada MG4 terdahulu dan juga BYD Dolphin.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu belakang melintang penuh dengan rekaan anak panah serta bampar bawah berwarna hitam. Ia dipadankan dengan rim aloi gaya kelopak bunga bersaiz 17-inci.

Rekaan dalaman menampilkan papan pemuka simetri bersama paparan tengah terapung, panel instrumen digital berbentuk segi empat, serta tema dwi-tona.

Sistem kokpit pintar MG × OPPO turut disertakan, berasaskan cip Qualcomm 8155. Antara fungsi pintar yang disokong termasuk kawalan suara, integrasi aplikasi, hubungan rentas peranti, navigasi berasaskan gerakan tangan serta ciri AI.

Bahan dalaman turut ditingkatkan kualitinya, seperti penggunaan permukaan berbalut kulit, aksen krom, pencahayaan ambien, pengecas telefon tanpa wayar 50W, dan tombol gear jenis tiang stereng.

Tempat duduk hadapan kini jenis sport dengan pelarasan kuasa, pemanas dan pengudaraan, manakala ruang belakang menampilkan lantai rata, bumbung panoramik dengan sunshade, corong udara, port USB serta tempat duduk boleh lipat 60:40.

Selain itu, ruang but pula hadir dengan konfigurasi tiga lapisan untuk fleksibiliti simpanan.

Dari aspek kuasa, MG4 dilengkapi bateri 70kWh dan motor elektrik 163hp pacuan roda belakang.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Jenama MG, Chen Cui, model ini juga menandakan penggunaan pertama teknologi bateri separa pepejal untuk jenama MG, dengan dua varian ditawarkan – jarak pemanduan mengikut kitaran CLTC masing-masing 437km dan 537km.

Pengecasan pantas dari 30% ke 80% mengambil masa kira-kira 20 minit. Sistem struktur bateri CTB (cell-to-body) turut digunakan, bersama suspensi jenis MacPherson di hadapan dan palang torsi di belakang.

Fungsi bantuan pemandu dijangka merangkumi sistem tahap L2+ termasuk navigasi autopilot peringkat lebuh raya (NOA), namun spesifikasi penuh dan harga hanya akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran rasmi.


Google ads
Back to top button