
JUALAN KENDERAAN ELEKTRIK MENINGKAT HAMPIR DUA KALI GANDA
Di sebalik penurunan jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia, satu perkembangan positif yang mencuri tumpuan ialah lonjakan mendadak dalam penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid (HV) yang dikategorikan sebagai “xEV”.
Menurut laporan penyelidikan TA Research, jumlah jualan xEV dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini melonjak 35.6 peratus kepada 30,600 unit berbanding 22,500 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Lonjakan ini diterajui oleh pertumbuhan jualan EV yang hampir berganda kepada 12,700 unit daripada hanya 6,700 unit sebelum ini. Jualan kenderaan hibrid pula meningkat 12.3 peratus kepada 17,800 unit.
“Walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) mencatat penyusutan 4.6% kepada 373,600 unit pada separuh pertama 2025, permintaan terhadap xEV terus mencatat pertumbuhan kukuh, menandakan perubahan ketara dalam corak pembelian pengguna,” kata TA Research dalam nota analisisnya.

Buat masa ini, EV merangkumi 3.4 peratus daripada jumlah volum industri, satu angka yang menunjukkan penerimaan pengguna terhadap kenderaan mesra alam semakin kukuh. Peningkatan ini turut disokong oleh pelbagai insentif kerajaan serta kesedaran pengguna terhadap isu perubahan iklim dan kos bahan api.
Namun begitu, TA Research masih mengekalkan saranan “Neutral” terhadap sektor automotif secara keseluruhan kerana tekanan daripada faktor-faktor seperti pengurangan subsidi diesel, bilangan hari bekerja yang lebih pendek dan pembelian awal yang tinggi pada hujung 2024.
Jualan keseluruhan untuk Jun 2025 menjunam sebanyak 21 peratus bulan ke bulan, kepada hanya 54,800 unit, sebahagian besarnya disebabkan penutupan kilang seminggu semasa cuti Aidiladha dan cuti umum.
Perodua dan Proton masing-masing mencatat penurunan ketara 28.9 peratus dan 16.6 peratus dalam jualan berbanding Mei.
Sektor automotif kini berada di persimpangan menarik, walaupun jumlah jualan menurun, permintaan terhadap kenderaan tenaga baharu seperti EV terus berkembang. Ini memberi isyarat jelas bahawa masa depan industri mungkin lebih bergantung kepada teknologi hijau dan penyelesaian mobiliti mampan. – Berita Harian
- BACA: PROTON E.MAS 7 KUKUH SEBAGAI EV PALING LARIS DI MALAYSIA UNTUK H1 2025, LEBIH 4,000 UNIT SUDAH DIHANTAR
- BACA: HYUNDAI UJI XIAOMI SU7 DI KOREA, FOKUS PADA R&D DAN REKABENTUK DIGITAL
- BACA: ALKISAH KEMENANGAN OLIVER SOLBERG DI DELFI RALLY ESTONIA
- BACA: HARGA RON95 TURUN RM1.99 SELITER AKHIR SEPTEMBER!







