Buletin

PROTON E.MAS 7 KUKUH SEBAGAI EV PALING LARIS DI MALAYSIA UNTUK H1 2025, LEBIH 4,000 UNIT SUDAH DIHANTAR

Proton e.MAS 7 terus mengukir nama sebagai peneraju kenderaan elektrik (EV) tempatan apabila mencatat lebih 4,000 unit dihantar dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025.

Menurut Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, model ini telah berjaya menarik perhatian pengguna sejak awal tahun dan kini menguasai 23.4 peratus pasaran EV di Malaysia, menjadikannya model elektrik paling popular negara untuk enam bulan berturut-turut.

Dengan jumlah penghantaran mencecah 4,003 unit dari Januari hingga Jun, e.MAS 7 tidak hanya mendominasi pasaran tempatan, malah turut melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Setakat ini, sebanyak 250 unit telah dieksport, termasuk ke pasaran baharu seperti Trinidad dan Tobago, memperlihatkan potensi eksport model ini ke destinasi yang lebih luas.

Salah satu kekuatan utama e.MAS 7 ialah nilai praktikalnya sebagai EV harian, ditawarkan pada harga kompetitif untuk dua varian, tanpa perubahan harga sejak pelancarannya.

Langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama dan model berkenaan.

Bagi merangsang lagi peralihan pengguna kepada mobiliti elektrik, PRO-NET turut memperkenalkan program Power Exchange.

Program ini membolehkan pemilik mana-mana jenis kenderaan – tidak kira usia atau jenama – menukar beli kenderaan lama mereka dan menikmati rebat tunai sehingga RM5,000.

Ia bukan sahaja meringankan beban pembeli, malah menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada penggunaan EV.

Google ads
Back to top button