Buletin

HONDA DAN NISSAN BANGUNKAN SISTEM OPERASI BERSAMA UNTUK KENDERAAN GENERASI BAHARU

Honda Motor dan Nissan Motor kini sedang giat berbincang untuk membangunkan sistem operasi kenderaan yang dikongsi bersama, sebagai usaha memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran kenderaan elektrik generasi baharu yang kini dikuasai oleh Tesla dan syarikat-syarikat China seperti Huawei.

Laporan dari Nikkei Asia mendedahkan kedua-dua pengeluar kereta Jepun itu merancang untuk memperkenalkan kenderaan dengan perisian baharu ini menjelang akhir dekad 2020-an.

Walaupun rundingan untuk membentuk pakatan automotif ketiga terbesar dunia antara mereka gagal pada Disember 2024 disebabkan perbezaan syarat, kerjasama dalam aspek teknologi perisian tetap diteruskan.

Sejak Ogos 2024, Honda dan Nissan telah menjalankan penyelidikan asas bersama mengenai teknologi perisian dan kini bersetuju untuk membawanya ke tahap pengeluaran massa.

Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk membangunkan platform perisian kenderaan generasi baharu yang mesra pengguna dan boleh disesuaikan, seumpama sistem operasi mudah alih seperti iOS dan Android.

Pendekatan ini dijangka memberi kelebihan dari segi kemaskini prestasi secara dalam talian, seterusnya membuka peluang baharu bagi model perniagaan yang tidak lagi bergantung kepada jualan kenderaan sekali sahaja, sebaliknya boleh menjana pendapatan melalui langganan perisian dan kemaskini berbayar.

Honda dan Nissan kini masing-masing sedang membangunkan platform perisian mereka sendiri yang dijangka digunakan mulai 2026.

Namun dalam jangka panjang, kedua-dua syarikat akan menggabungkan usaha untuk menghasilkan sistem operasi yang bersifat modular dan berskala besar bagi kenderaan terhubung (connected vehicles) serta autonomi.

Selain perisian, mereka juga bercadang untuk menyeragamkan komponen seperti cip semikonduktor berprestasi tinggi dan motor elektrik.

Dengan berkongsi pembangunan, kedua-dua syarikat dapat mengurangkan kos yang semakin meningkat, dianggarkan mencecah trilion yen (1 trilion yen bersamaan kira-kira RM31.9 bilion).

Menjelang 2030, jumlah baris kod dalam perisian kenderaan dijangka meningkat enam kali ganda berbanding 2020, menjadikan pembangunan perisian satu beban besar jika dilakukan secara bersendirian.

Sebagai tambahan strategi pengurangan kos, Honda merancang memperkenalkan teknologi gigacasting, kaedah tuangan aluminium berskala besar untuk komponen badan kereta, bermula 2026.

Nissan pula akan mula menggunakannya pada model-model tertentu menjelang tahun fiskal 2027.

Menurut Precedence Research, pasaran global untuk kenderaan berasaskan perisian (software-defined vehicles, SDVs) dijangka mencecah USD301 bilion (sekitar RM1.4 trilion) pada tahun 2034, peningkatan tujuh kali ganda berbanding 2023.

Ketika Tesla mampu menyelesaikan hampir 40 peratus panggil balik (recall) hanya melalui kemaskini perisian, pengeluar kereta tradisional seperti Honda dan Nissan semakin menyedari bahawa pembangunan teknologi dalaman adalah kunci daya saing masa depan.

Justeru, membangunkan sistem operasi sendiri bukan sahaja memastikan kawalan terhadap data pengguna, tetapi juga membuka jalan kepada inovasi yang lebih bebas.

Dengan semakin banyak pengeluar dunia, termasuk Toyota dan Mazda, serta gabungan 11 syarikat Eropah turut bekerjasama dalam pembangunan perisian automotif, langkah Honda dan Nissan ini dilihat sebagai gerakan penting untuk memastikan Jepun kekal relevan dalam perlumbaan kenderaan masa depan.

Google ads
Back to top button