MITSUBISHI COLT L300 – DAH 40 TAHUN TETAPI MASIH DIJUAL DI INDONESIA
Sebut sahaja tentang Mitsubishi, semua orang tahu betapa bagusnya produk daripada jenama mempunyai logo tiga berlian itu. Tidak perlu kita sembang perihal Xpander, L200 Storm, VR4, Evo Lancer mahu pun Inspira Evo (tiberrrrr), semuanya kita yakin ianya adalah model yang bagus dan tahan lasak serta laju. Tetapi tahukah, masih wujud sebuah model dari zaman purbakala yang masih boleh dibeli baharu di pusat pameran Mitsubishi Indonesia. Inilah dia Mitsubishi Colt L300.
Jika diikutkan sejarah, model ini sepatutnya telah pun berusia lebih daripada 40 tahun semenjak ianya mula diperkenalkan di pasaran global pada tahun 1979 sebagai model generasi kedua untuk model Mitsubishi Delica yang mana variannya adalah sebuah lori pikap kecil. Rekaannya mudah. Tidak terlalu komplikated, sesuai dengan rekaan yang dikeluarkan pada penghujung tahun 70an / awal 80an.
Untuk pasaran Indonesia, ianya dibekalkan dengan trenkuasa 2.5 liter daripada enjin 4D56 yang menggunakan enjin diesel. Sebelumnya juga enjin petrol pernah diperkenalkan tetapi disebabkan kurang permintaan, maka pilihan tersebut digugurkan kemudiannya. Walaupun telah berusia lebih 40 tahun, namun Mitsubishi tidaklah mahu merubah apa – apa terhadap penampilan luarannya. Ianya masih hampir sama dan tiada perbezaan. Apatah lagi untuk mengharapkan penampilan Dynamic Shield terhadap rupanya. Memang tak mungkin berlakulah.
Tahukah anda bahawa, walaupun disebalik ke-lakuan-an keras jualan model Xpander di Indonesia, sebenarnya model Colt L300 ini turut menyumbang sebanyak 23% daripada jualan keseluruhan kepada Mitubishi Motor Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) selaku pengedar rasmi Mitsubishi di sana. Nah, kesimpulannya mudah. Model ini masih lagi mendapat permintaan buat rakyat di sana untuk menggunakannya sebagai kenderaan bagi mengangkut barangan perdagangan terutamanya di kawasan ladang dan juga kebun misalannya.
Ketahanan enjin diesel 4D56 sememangnya diakui cukup lasak untuk mengharungi apa jua bentuk muka bumi di Indonesia. Maka sudah tentulah ianya menjadi alasan utama buat para pembeli di sana. Nak dijadikan sebagai lori pikap sesuai, untuk dijadikan sebagai lori sebagai medan untuk berniaga di pinggir jalan juga tidak menjadi halangan. Apatah lagi lori kecil ini mempunyai ruang kargo yang cukup luas di bahagian belakangnya. Ruangan kabin pula memang berupaya memuatkan tiga penumpang dengan selesa. Terima kasih kepada tuil gear yang diletakkan di bahagian sisi stereng.
Tahukah anda bahawa selain daripada dijadikan sebagai lori pikap, di bandar bandar kecil Pulau Jawa banyak juga angkutan daripada spesis Mitsubishi Colt L300 ini yang masih bertahan walaupun sudah di mamah usia. Lori Mitsubihsi Colt L300 ini masih boleh dibeli baharu dengan harga serendah Rp 189.500.000 (RM55,322). Teknologi kuno, tapi ketahanannya seribu tahun. Power siakkk!
BACA : ALKISAH MITSUBISHI DELICA – VAN TERKEMUKA DARI TANAH JEPUN
BACA : TAHUKAH ANDA BAHAWA MITSUBISHI DELICA YANG LAMA INI MASIH LAGI DIJUAL DI TAIWAN?