Buletin

MUSTANG MACH-E POLICE CONCEPT, KERETA PERONDA ELEKTRIK!

Mungkin ada yang tertanya bilakah kereta elektrik akan digunakan secara meluas? Jawapannya terletak pada penawaran model yang mampu dimiliki oleh pelbagai golongan masyarakat.

Kecuali di China, kereta elektrik pada hari ini berada pada paras premium atau enam angka di negara kita.

Tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu tunggu dan lihat, pihak kerajaan hendaklah mempunyai agenda khusus dalam mempromosikan kenderaan elektrik.

Satu daripada caranya ialah kerajaan sendiri menggunakan kereta elektrik.


Terbaru Ford mempertontonkan kereta konsep polis Mach-E di Pameran Perkhidmatan Kecemasan di NEC, Birmingham, United Kingdom dari 7-8 September.

Apa yang menarik ialah tujuh badan berkuasa telah menguji atau memohon untuk melakukan penilaian penuh model SUV elektrik tersebut.

Di antara badan berkuasa yang menunjukkan minat ialah polis UK.

Polis di sana sememangnya mempunyai barisan kenderaan menarik termasuk pernah menggunakan Proton Persona (Wira), Impian (Waja) dan Gen.2.


Kereta konsep ini dibina selepas Ford menerima banyak pertanyaan dari polis UK yang berminat untuk menggunakan model lebih mesra alam.

Jabatan berkuasa yang telah memohon untuk membuat penilaian penuh ialah Metropolitan Police Force.

Ada lagi yang mahu mencuba iaitu jabatan dari Sussex, Surrey, South Wales, Dyfed Powys, Devon & Cornwall dan pasukan Polis Scotland.

Model awal yang digunakan ialah Mustang Mach-E Standard Range AWD dan Ford turut bercadang untuk menawarkan varian Extended Range RWD dan AWD.


Varian dengan jarak tambahan (extended range) dapat memberikan jarak pemanduan lebih jauh dan berkeupayaan untuk kegunaan polis.

Dari segi prestasi, Mach-E GT berkeupayaan untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan kelajuan maksimum 178 km/j.

Pecutan itu sangat berguna untuk tugas kepolisan dan nadi elektriknya pula menawarkan penggunaan yang ekonomikal dan mesra alam.

Dari segi jarak, Mustang Mach-E sudah pun mencatatkan rekod dunia iaitu kereta elektrik dengan penggunaan tenaga paling rendah. Mach-E boleh dipandu sehingga 609.9 kilometer sebelum memerlukan cas baharu.


Satu lagi perkara menarik ialah dari mana sumber kuasa untuk perkakasan tambahan kereta konsep ini? 

Contohnya lampu mata arah (beacon light), siren dan alatan berteknologi tinggi.

Perkara itu telah pun ditangani dan menurut Terry Adams dari Ford Britain dan Ireland, sumber tenaga untuk perkakasan lampu diambil dari bateri 12v dan bukan bateri pemanduan.

Menurut beliau lagi, pada masa pembangunan depan Ford akan melihat bagi meningkatkan kapasiti bateri supaya perkakasan tambahan dapat dipasang.

Kerja-kerja pengubahsuaian kereta konsep Mach-E dibuat oleh Safeguard SVP iaitu sebuah syarikat pakar dalam bidang ini.

Di antara perkakasan yang dipasang ialah braket dan pod khas manakala kesemua lampu dari jenis LED dengan kadar penggunaan kuasa rendah supaya dapat mengurangkan tarikan kuasa dari sistem bateri 12V.

Grafik badan pula dari jenis bahan bermutu tinggi supaya dapat dilihat dengan jelas pada waktu siang dan malam.

Selain kereta konsep konsep polis Mach-E, Ford dan Safeguard SVP turut mempertontonkan van konsep lima tan Protected Personnel Carrier yang mempunyai lokap dan ruang simpanan boleh laras.

BACA: FORD GT HERITAGE EDITION, MODEL CUN UNTUK HORMAT FORD GT 1964

BACA: FORD FOCUS ST EDITION, INI MEMANG HATCHBACK ‘BEST’!

BACA: FORD JUAL MOTOR ELEKTRIK DARI MUSTANG E-MARCH. HARGA MURAH DARI ENJIN CIVIC TYPE-R

Google ads
Back to top button