
NISSAN ARMADA SERBA BAHARU – LEBIH BESAR DAN LEBIH EKSKLUSIF
Nissan Motor Corporation telah memperkenalkan generasi ketiga model SUV bersaiz penuh mereka khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, Nissan Armada bagi terus mengukuhkan jenama mereka dalam segmen SUV bersaiz besar yang banyak didominasi jenama seperti tempatan Chevrolet Suburban.
Nissan Armada serba baharu ini menampilkan gaya yang lebih mewah dan eksklusif terhadap penampilan luarannya tetapi dalam masa yang sama memberikan gambaran bahawa ianya bersedia untuk menempuh sebarang bentuk muka bumi bagi meneruskan pengembaraan apa tah lagi kini ianya mempunyai tahap jarak pelepasan tanah (ground clearance) yang lebih baik.

Dengan dimensi panjang 5,324 mm, lebar 2,116 mm, tinggi 1,981 mm, ianya kini lebih besar berbanding model generasi kedua. Pada gril Nissan Armada ini terdapat garisan krom yang menyerlah di bahagian atas sebelum disambut dengan lampu LED berbentuk C. Di hadapan, tirai udara berfungsi yang dibina pada fascia hadapan membantu mengalirkan udara di sekeliling roda hadapan untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Rekaan kesan bumbung terapung diaplikasikan pada pilar D dan juga terdapat jalur lampu LED yang merentangi bahagian pintu belakang. Melengkapkan penampilan luaran adalah pilihan rim bersaiz 18, 20 atau pun 22 inci.

Bahagian kabin memberikan citarasa premium dan keselesaan sama ada untuk penumpang mahu pun ruang kargo. Kemasan kayu yang digunakan, cahaya ambien dengan pilihan 64 warna serta tempat duduk balutan kulit mewah.
Papan pemuka menggabungkan kawalan fizikal sentuhan dengan skrin definisi tinggi yang besar untuk mengoptimumkan fungsi. Dwi skrin bersaiz 12.3 inci setiap satu untuk paparan kluster instrumen dan juga infohiburan secara standard. Manakala untuk varian PRO-4X, Platinum dan Platinum Reserve diberikan skrin yang lebih besar bersaiz 14.3 inci.
Kebanyakan ciri bantuan pemandu didatangkan secara standard, manakala teknologi ProPilot 2.1 terbaru daripada Nissan adalah pilihan dengan keupayuaan pemanduan bebas tangan dalam situasi tertentu.

Enjin 5.6 liter V8 generasi terdahulu tidak lagi digunakan sebalik kini Nissan Armada telah menggunakan enjin 3.5 liter V6 twin turbo. Walau pun mempunyai sesaran yang lebih kecil tetapi kuasa yang dihasilkan mampu mencapai 425 HP dan 700 Nm yang digandingkan dengan kotak gear automatik 9 kelajuan. Angka yang dihasilkan ini masih berupaya menarik beban sebanyak 8,500 pound (3,855 kg), sama seperti penggunaan enjin sebelumnya.
BACA : NISSAN ARMADA 2021 – SUV BERSAIZ PENUH YANG SESUAI UNTUK AHLI GUSTI
BACA : NISSAN YAKIN PATROL MEREKA LEBIH HEBAT DARIPADA LAND CRUISER – YAKINNYA KAMU

