Artikel Pilihan

NISSAN ARMADA 2021 – SUV BERSAIZ PENUH YANG SESUAI UNTUK AHLI GUSTI

Segmen kenderaan di Amerika Syarikat umum mengetahui mereka menggemari serba serbi bersaiz besar. Baik dari segi saiz kenderaan, mahupun kapasiti enjin. Maka oleh yang demikian, pasti kelakar rasanya jikalau Nissan memasarkan SUV Xtrail sebagai model SUV kemegahan di sana. Jadi, Nissan memerlukan sebuah SUV yang besar khusus untuk pasaran yang cukup ideal untuk dipandu Undertaker misalannya. Dan jawapannya adalah Nissan Armada.

Sedikit sejarah untuk ditelusuri, Nissan Armada ini mula diperkenalkan diantara tahun 2004 sehingga 2015 ketika generasi pertama diperkenalkan. Ianya berjaya dijual dengan laku di Benua Amerika (Amerika, Kanada & Mexico) dan juga Timur Tengah. Dan generasi kedua pula hadir di pasaran bermula 2017 sehinggalah sekarang dengan berkongsi platform yang sama dengan Infiniti QX80.

Dan selepas beberapa tahun, sampai detiknya Nissan Armada ini diberikan sentuhan baharu untuk memastikan ianya kekal relevan dalam pasaran. Nissan Armada 2021 jelas sekali mahu mengekalkan reputasinya sebagai sebuah kenderaan keluarga untuk kegunaan harian mahupun di hujung minggu tanpa mengorbankan keselesaan dan juga kemewahan bagi sebuah model SUV Kemegahan.

Jelas sekali penampilan bahagian hadapan telah menggunakan set lampu utama LED yang baharu dengan rekaan C yang tajam. Rekaan bampar baharu lengkap dengan Skid Plates yang lebih garang dan berani turut digunakan disamping penggunaan gril baharu V Motion yang tak berapa nak V itu. Dan tahukah bahawa ini juga merupakan model pertama yang menggunakan logo korporat Nissan yang baharu sementelah diperkenalkan beberapa bulan yang lalu.

Ruangan kabin Nissan Armada ini juga menampilkan rekaan yang nampak mewah dengan penggunaan kulit mewah. Sistem infohiburan pula menggunakan skrin sesentuh bersaiz 12.3 inci lengkap dengan Sambungan Android dan juga Apple CarPlay. Lebih besar berbanding model sebelumnya yang hanya menggunakan skrin bersaiz 8 inci.

Dengan saiz sebenar ini, mudah untuk kita meneka kapasiti penumpangnya. Ianya boleh memuatkan sehingga lapan orang penumpang tanpa masalah sekiranya perehat tangan di baris kedua dinaikkan. Cukup ideal sebagai sebuah kenderaan keluarga.

Menggerakkan tubuh SUV yang besar ini diserahkan kepada enjin 5.6 liter V8 dengan kuasa maksimum 400 HP. Malah, dengan enjin yang cukup berkuasa itu, membolehkan Nissan Armada ini berupaya menarik treler / motorhome di belakang sehingga berat maksimum 8,500 lbs (3,855 kg).

Dari segi ciri keselamatan, apa yang terdapat pada model saingannya di luar sana turut ada pada Nissan Armada ini meliputi Intelligent Forward Collision Warning, Intelligent Cruise Control, dan juga Intelligent Driver Alertness. Menarik juga apabila SUV ini turut dilengkapi dengan ciri Rear Door Alert yang membolehkan pemandu diingatkan tentang “barangan” di bahagian belakang. Setidaknya tidaklah terlupa tentang anak di kerusi belakang misalnnya.

Nissan Armada ini dijangka akan berada dalam pasaran Amerika penghujung Januari 2021 kelak.

BACA : NISSAN ARMADA 2017

BACA : NISSAN PATROL DIPERKENAL – ENJIN 4.OL V6 DAN 5.6L V8

Google ads

B K

Back to top button