
THIERRY NEUVILLE SAMBUNG KONTRAK BERSAMA HYUNDAI MOTORSPORT SEHINGGA TAHUN 2025
Pemandu pasukan Hyundai Motorsport yang juga merupakan pendahulu pungutan mata kejuaraan FIA World Rally Championship (WRC) setakat ini, Thierry Neuville telah menandatangani kontrak lanjutan bersama pasukan dari Korea Selatan.
Pemandu dari Belgium itu, yang kini mendahului kejuaraan pemandu dengan 27 mata di hadapan sedang beraksi di EKO Acropolis Rally Greece minggu ini (5 – 8 September), telah memainkan peranan penting dalam membentuk program WRC Hyundai Motorsport sejak dua belas tahun yang lalu.
Thierry Neuville meraih kemenangan WRC pertamanya bersama pasukan Hyundai di Rallye Deutschland pada 2014 dan semenjak itu telah mengumpul 20 kemenangan, 59 podium, dan 371 kemenangan peringkat semasa memandu jentera WRC pasukan Hyundai Motorsport.

Thierry Neuville bersama Juruarah Martijn Wydaeghe akan terus bersaing bersama Ott Tänak dan Martin Järveoja dari Estonia untuk kempen FIA WRC 2025, bersama pasukan Hyundai Motorsport yang dijangka mendedahkan rancangan untuk barisan kereta i20 N Rally1 Hybrid ketiganya dalam masa terdekat.
“Saya sangat gembira untuk melanjutkan kontrak saya dengan Hyundai Motorsport untuk musim WRC 2025,” kata Neuville. “Tidak banyak perkongsian dalam sukan permotoran yang menjangkau selama kami, tetapi sejak 2014 kami telah mencapai kejayaan besar bersama.”
“Saya telah berkata sebelum ini bahawa pasukan ini telah menjadi keluarga kedua kepada saya, dan cita-cita serta motivasi kami hanya berkembang dari tahun ke tahun. Ianya merupakan satu penghormatan besar sekiranya dapat untuk memenangi kejuaraan pemandu pertama kami bersama mereka pada penghujung musim ini, dan membawanya ke hadapan ke tahun ke-12 bersama-sama. Saya tidak sabar untuk melihat masa depan kami.”

Dalam masa yang serupa Cyril Abiteboul selaku Presiden dan Prinsipal Hyundai Motorsport mengesahkan bahawa duo handalan mereka, Thierry Neuville dan juga Ott Tanak akan kekal memandu jentera Hyundai i20 N Rally1 mereka sehingga penghujung musim 2025 dengan pemandu jentera ketiga akan diumumkan kelak.
Dengan pengumuman ini, ada cakap – cakap mengatakan bahawa sama ada komitmen Hyundai Motorsport akan terus kekal bersama WRC pada tahun 2026 atau pun cukup sekadar itu pembabitan mereka dalam kempen WRC.
BACA : ANDREAS MIKKELSEN KEMBALI SEMULA KE KELAS UTAMA WRC BERSAMA HYUNDAI
BACA : OTT TANAK SAH AKAN KEMBALI SEMULA KE PANGKUAN PASUKAN HYUNDAI MUSIM HADAPAN



