Artikel Pilihan

NISSAN YAKIN PATROL MEREKA LEBIH HEBAT DARIPADA LAND CRUISER – YAKINNYA KAMU

Nissan Patrol merupakan SUV bersaiz penuh keluaran Nissan, sama seperti Toyota Land Cruiser. Ia juga dikenali dengan nama Nissan Armada untuk pasaran Amerika Syarikat. Tapi dari dulu lagi Nissan Patrol ni seolah ketinggalan jauh kalau dibandingkan dengan Land Cruiser. Macam mana ni? Ia kan dari syarikat yang sama dengan GT-R. Seorang eksekutif senior Nissan berkongsi pandangan beliau tentang masa depan Nissan Patrol baharu ini.

Ivan Espinosa merupakan eksekutif kanan Nissan untuk Product Strategy dan Planning global dengan yakinnya menyatakan bahawa Nissan Patrol baharu akn menjadi lebh baik daripada Land Cruiser. Sudah tentu model yang dimaksudkan ialah model SUV flagship Toyota, Land Cruiser Series 300.

Dakwaan ini disuarakan oleh Espinosa kepada media Australia di Japan Mobility Show 2023. Beliau turut menerangkan beberapa ciri SUV terbaru mereka itu.

Espinosa turut mengesahkan khabar angin sebelum ini yang menyatakan enjin NA V8 akan ditamatkan perkhidmatan dan digantikan dengan enjin V6 turbo berkembar yang lebih efisyen. Baik dari segi kemampuan, prestasi, pecutan dan hantaran kuasa. Er… takkan tak ada kekurangan langsung bro?

Menurut laporan The Drive, model baharu Patrol ini bakal ditawarkan dengan enjin petrol tanpa sokongan sistem elektrik. Tiada model disel ditawarkan buat masa ini. Espinosa turut memberikan gambaran kemungkin ia mungkin akan ditawarkan dengan sistem hibrid ePower selepas ini. Sistem EV sepenuhnya belum sesuai untuk kegunaan SUV besar yang kegunaannya lebih khusus untuk kembara jarak jauh.

Bukan itu sahaja, Nissan Patrol baharu ini juga bakal menerima peningkatan dari segi dinamik pemanduan. Ia memang satu keperluan untuk SUV saiz besar lebih-lebih lagi sewaktu dipandu dengan kelajuan lebuh raya. Tak adalah nampak macam tongkang dilambung ombak.

Nissan Patrol yang ada sekarang boleh dikatakan agak berusia tanpa sistem infotainment terkini. Nissan akan memastikan Patrol atau Armada baharu ini menerima naik taraf terbaru agar lebih sesuai untuk mencabar takhta yang sudah lama dipegang oleh Land Cruiser.

Kita tunggulah betul atau tidak dakwaan eksekutif Nissan ni. Adakah ia lebih hebat daripada Land Cruiser atau mungkin lebih mewah dari Lexus LX. Kita tunggu je la kemunculannya tahun depan.

Google ads
Back to top button