Pandu Uji

SMART #3 BRABUS, LAGI SEKSI & LAGI EFISYEN

Jenama Smart mulai diperkenalkan di dalam negara melalui pengenalan model Smart # 1 pada awal tahun 2024. Tapi persoalan yang bermain di minda penulis ialah kenapa perlu wujudnya satu lagi model Smart iaitu #3 yang menggunakan platform dan sistem bateri yang hampir sama?

Dari segi harga, Smart #3 dijual dengan RM 6000 lagi mahal berbanding dengan model Smart #1 yang setara. Sebagai perbandingan Smart #1 Brabus dijual dengan harga RM 249,000 manakala Smart #3 Brabus pula ialah RM 255,000

Walaupun dibina dengan platform SEA yang sama, namun dari segi ukuran Smart #3 sebenarnya lebih besar sedikit berbanding dengan Smart #1. Ia datang dengan panjang 4400mm, lebar 1844mm dan jarak antara roda yang lebih besar iaitu 2785mm

Namun secara keseluruahan Smart #3 adalah jauh lebih hensem, bergaya, lebih lebar dan rendah dengan rekaan Coupe Hatchback. Malah rekaan sebegini terutama rekaan bumbung yang lebih rendah menjadikan pekali geseran Smart #3 adalah 0.27 berbanding dengan Smart#1 0.29

Bagi varian Brabus, Smart #3 diberikan Aero Package yang merangkumi kemasan bampar depan, belakang serta sisi yang turut dilengkapi dengan logo Brabus, rim 20 inci, lampu utama CyberSpark Matrix LED, jeriji depan yang bercahaya serta angkup brek berwarna merah.

Platform Sustainable Experience Architecture direka dengan sistem 400 volt sahaja, namun bateri Nickel Manganese Cobalt yang digunakan menawarkan kapasiti tenaga sehingga 66kWh, cukup untuk pemanduan sehingga 415km mengikut ukuran WLTP

Sistem pengecasan arus ulang alik menyokong kuasa sehingga 22kW bagi membolehkan pengecasan dibuat dalam masa 3 jam dari 10% ke 80%. Bagi penggunaan sistem DCFC pula, ia mampu memenuhkan bateri dari 10% ke 80% dalam masa 30 minit.

Sistem bateri ini juga dilengkapi dengan ciri V2L atau Vehicle To Load, membolehkan Smart #3 bertukar menjadi “powerbank” bergerak. Agihan berat bateri juga disusun agar berat pada gandar depan dan belakang mencapai 50:50.

Istimewa buat varian Brabus juga ialah penggunaan sistem gantungan Multilink Sport Suspension bagi menjadikan varian Brabus lebih lincah pada semua keadaan pemanduan. Dari segi kemasan dalaman, rekaan dalaman Smart #3 aadalah hampir sama dengan Smart #1 kecuali rekaan corong penyaman udara berbentuk bulat disusun 3 unit sama seperti Mercedes Benz

Rekaan kusyen Smart #3 juga ditukar kepada rekaan yang lebih sporti dibalut dengan seude dan juga microfabric lengkap dengan bantuan kuasa serta ciri pengudaraan, serta bumbung suria panorama tanpa tirai namun disalut dengan filem penapis UV

Varian Brabus juga ditawarkan dengan sistem Head Up Display serta 13 pembesar suara dari jenama Beats Sound System. Bagi menyerlahkan imej sporti, varian ini dilengkapi dengan pedal aloi dan tali pinggang berwarna merah

Ruang kargo di bahagian belakang menawarkan ruang sehingga 370 liter, dan boleh dibesarkan menjadi 1160 liter apabila kusyen di bahagian belakang dilipat. Terdapat 2 poin USB ditawarkan di ruang belakang selain ciri pencahayaan kabin turut dipasang di bahagian belakang.

2 unit motor yang dipasang menjadikan varian Brabus pacuan semua roda dengan kuasa mencecah sehingga 422 kuasa kuda dan 543Nm tork. Jika anda berani, Smart #3 Brabus boleh memecut dari 0-100km/jam dalam masa 3.7 saat sahaja dengan menggunakan Rocket Mode.

Kecekapan penggunaan tenaga adalah bergantung pada cara pemanduan, menjadi serendah 12.7kWh/100km ataupun setinggi 25.8kWh/100km. Namun dengan pemanduan santai mengikut halaju kebangsaan, penulis berjaya mencatatkan bacaan sekitar 15.3kWh/100km dengan jarak pemanduan antara 430km ke 450km bagi setiap pengecasan penuh

Roda stering pula dibalut dengan kemasan Alcantara, seakan baldu yang memang sedap digenggam. Respon stering juga adalah pantas dan sporti, menjadikan anda terasa yakin untuk membelasah Smart #3 dengan berani di lebuhraya.

Kalau anda berani, memang anda akan rasa tork maksima 543Nm menhenyak tubuh anda sebaik sahaja anda membenam pedal pada lantai. Smart #3 juga diberikan 3 tetapan brek regeneratif berbanding dengan 2 tetapan sahaja pada Smart #1

Sistem supsensi Multilink Sport sememangnya mampu mengurangkan olengan cesi ketika pemanduan agresif dan laju menjadikan kawalan Smart #3 terasa lincah. Namun ia juga adalah keras sedikt menyebabkan keselesaan terjejas jika melalui jalan tidak rata pada kelajuan sederhana.

Dan seperti mana-mana suspensi sport yang ditala keras, nilai kekerasan spring tadi akan membuatkan anda tersenyum ketika melalui selekoh panjang pada kelajuan tinggi. Smart #3 dengan tenang sahaja mengambil selekoh pada halaju tinggi, seolah -olah berat bateri yang berada di bawah cesi tidak wujud. Sangat stabil dan senang

Cuma jika anda terlalu laju di lebuh raya, maka anda akan berhenti dengan kerap untuk mengecaj selama 32 minit dari 10% ke 80%. Pengalaman memandu GWM Ora 07 sehingga bateri habis sedikit sebanyak menyebabkan penulis terasa tenang walaupun bateri kurang dari 10%.

Untuk menjadikan Smart #3 ini lebih menonjol, ia turut dilengkapi dengan ciri Light Mode Play. Ciri ini akan menyalakan semua lampu termasuk lampu di jeriji bawah bampar depan serta diikuti dengan dentuman muzik kuat persis cerita Fast & Furious.

Dalam aspek keselamatan, Smart #3 adalah lengkap dengan semua ciri keselamatan aktif merangkumi pemanduan adaptif, brek kecemasan automatik depan belakang, Lane Keep Assist dan juga parkir automatik.

Namun yang paling diingati oleh penulis ialah Driver Attention Alert yang menggunakan sensor dipasang di tengah tengah stering, mengesan pergerakan mata dan tangan anda agar kekal fokus pada jalan raya dan juga tangan pada stering. Sebarang pergerakan mata dan tangan akan menyebabkan sistem DAA menghasilkan bunyi amaran

Keadaan ini sebenarnya agak menjengkelkan kerana beberapa ciri keselamatan “ditanam” dalam skrin dan butang ekspress pada skrin tidak menyediakan beberapa ciri untuk mematikan sistem keselamatan seperti Lane Keep Assist.

Keadaan ini juga disebabkan tiada butang fizikal untuk menutup atau mencapai beberapa ciri yang biasa digunakan oleh penulis. Smart #3 juga tiada tirai di bahagian bumbung disebabkan rekaan bumbung “fastback”, menjadikan usaha untuk meletakkan motor di bahagian belakang tidak berjaya.

Anda boleh menutup bumbung kaca panaromic ini dengan menggunakan tirai, tapi dibuat secara manual walaupun cahaya yang masuk tidaklah panas melainkan penulis menyentuh bumbung kaca di atas.

Sebenarnya dari segi prestasi, gaya, rekaan, dan juga logo Brabus yang disemat menjadikan Smart #3 ini adalah terasa cukup premium dan sepatutnya dijual dalam julat harga antara RM 300,000 ke RM 400,000. Namun Smart #3 Brabus ini hanya dijual pada harga RM 255,00 sahaja.

Ia sebenarnya disasarkan kepada pemandu muda yang mahukan sebuah kereta elektrik yang sangat bergaya dan sporti. Sebagai pelengkap kepada tawaran ini, Smart #3 ditawarkan dengan jaminan bateri dan trenkuasa sehingga 200,000km. Jadi tiada apa yang perlu ditakutkan.

Google ads
Back to top button