Buletin

NISSAN HENTIKAN PENGELUARAN KERETA SELAMA 2 MINGGU DI JEPUN

Tokyo – Nissan menghentikan pengeluaran kenderaan untuk pasaran jepun sekurang-kurangnya dua minggu bagi menyelesaikan masalah salah laku dalam prosedur pemeriksaan kenderaan mereka yang telah membuatkan banyak kenderaan di panggil kembali untuk pemeriksaan.

Pengeluar kenderaan kedua terbesar Jepun itu berkata pengeluaran kenderaan pasaran domestik di enam buah kilang pengeluarannya akan dihentikan selama dua minggu bagi mengenalpasti masalah dan menyusun atur kembali barisan pemeriksaan keselamatan mereka.

Ini dibuat selepas Nissan mengakui terdapat juruteknik yang tidak berkelayakan bertugas pada peringkat pemeriksaan akhir barisan pemasangan walaupun ia sudah mengetatkan proses tersebut selepas isu yang sama dibangkitkan awal bulan lepas.

Kes salah laku tersebut telah memaksa Nissan memanggil kembali sejumlah 1.2 juta unit kereta penumpang yang dipasarkan di Jepun tiga tahun kebelakangan ini. Selepas ini mereka akan memeriksa 34,000 unit lagi diiikuti tambahan 4,000 unit selepas itu.

BACA: SKANDAL KOBE STEEL MUNGKIN JEJASKAN KUALITI PRODUK PENGELUAR KERETA DAN PESAWAT TERBANG

Isu ini juga telah menjejaskan nama baik Nissan di tempat sendiri yang mana secara kebetulan mereka juga terlibat dalam masalah skandal Kobe Steel yang mengaku memalsukan data berkenaan bahan logam yang dibekalkan kepada pengeluar kereta. Ia secara tidak langsung juga akan menjejaskan kawalan kualiti pihak pengeluar kenderaan termasuklah Nissan.

Kementerian Pengangkutan Jepun bulan ini telah mengesan beberapa juruteknik tidak bertauliah bertugas di kilang pemasangan kenderaan Nissan dan menggunakan cop kelulusan kepunyaan juruteknik bertauliah bagi meluluskan sesebuah kenderaan dalam pemeriksaan akhir. Ia jelas menyalahi peraturan yang ditetapkan pihak kementerian.

Hasilnya ialah Nissan terpaksa memanggil kembali kenderaan terlibat dan membuat kembali pemeriksaan akhir seperti radius pusingan stereng, brek dan keupayaan pecutan yang menelan kos sekitar 25 billion yen (RM940 juta).

Walaupun kes salah laku ini tidak menjejaskan kualiti kenderaan dihasilkan, ia menimbulkan persoalan tentang bagaimana dengan standard pematuhan peraturan yang telah ditetapkan di kilang pengeluaran Nissan.

Nissan bagaimanapun masih akan mengeluarkan kenderaan untuk eksport di Jepun termasuklah model crossover Nissan Rogue dan model berkuasa bateri Nissan Leaf. Ini kerana proses pengesahan yang sama tidak diperlukan untuk model-model yang akan dieksport ke luar negara.

Bayangkan betapa seriusnya isu seperti ini diambil kira, kalau di Malaysia macam mana agaknya?

Google ads
Back to top button