Buletin

NISSAN MAGNITE KURO SPECIAL EDITION INDIA, 1.0L TURBO ATAU N/A, DARI RM40 RIBU!

Nissan Motor India Private Limited (NMIPL) memperkenalkan Nissan Magnite KURO Special Edition baharu, varian baharu bertemakan hitam yang menonjol dan premium.

Dengan harga bermula dari INR 8.30 Lakhs (RM40,134.88), KURO Special Edition menggambarkan falsafah The Boldest Black, menggabungkan gayaan berani, tema dalaman hitam yang sofistikated, serta sentuhan reka bentuk yang diinspirasikan dari Jepun.

Tempahan untuk Nissan Magnite KURO Special Edition baharu kini dibuka dengan bayaran menarik sebanyak INR 11,000 (RM531.89).

Nama KURO diambil dari perkataan Jepun yang bermaksud hitam, melambangkan tahap kecanggihan dan ketepatan reka bentuk Jepun yang tinggi.

Edisi Khas ini menonjolkan identiti visual yang unik, menampilkan kemasan serba hitam pada bahagian luaran dan dalaman, memberikan penampilan premium, berkarisma dan bergaya.

Ciri-ciri Utama Magnite KURO Special Edition

Magnite KURO Special Edition ditawarkan dengan pilihan enjin petrol turbo dan enjin petrol aspirasi semula jadi. Di antara ciri-ciri eksklusifnya seperti:

  • Lencana KURO yang unik dan eksklusif di bawah logo Magnite pada fender kiri.
  • Gril hadapan Piano Black, plat bawah depan dan belakang Resin Black, rel bumbung Gloss Black, rim aloi potongan berlian R16 dan pemegang pintu hitam.
  • Didatangkan standard dengan lampu hadapan LED Hitam khas bersama lampu isyarat membelok Lightsaber untuk penglihatan yang lebih baik dan kehadiran jalan yang dominan.
  • Bahagian dalaman bertema gelap dan premium dengan papan pemuka bertema Midnight, kemasan tuil gear Piano Black, riasan stereng Piano Black, pelindung matahari,dan kemasan pintu.
  • Peningkatan ciri termasuk pengecas tanpa wayar Sable Black sebagai standard dan kamera perakam papan pemuka Stealth sebagai aksesori.

Pilihan Rangkaian Kuasa

Nissan Magnite ditawarkan dalam beberapa pilihan rangkaian kuasa untuk memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza.

Pilihan enjin 1.0L Petrol (NA) menghasilkan kuasa maksimum 72 ps dan tork maksimum 96Nm. Varian ini dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan.

Sementara itu, pilihan enjin 1.0L Turbo Petrol menawarkan kuasa maksimum 100 ps dan tork maksimum 160Nm untuk transmisi manual 5-kelajuan dan 152Nm untuk transmisi X-Tronic CVT.

Keselamatan dan Inovasi

Baru-baru ini, Nissan Magnite baharu telah dianugerahkan penarafan keselamatan penumpang keseluruhan 5 bintang daripada Global NCAP, menjadikannya salah satu SUV paling selamat di India dan Afrika Selatan.

Dilancarkan pada Oktober 2024, Magnite baharu dibangunkan di atas platform CMF-A+ yang dipertingkatkan untuk keselamatan optimum.

Ia dilengkapi dengan lebih 40 ciri keselamatan, termasuk 6 beg udara dan struktur badan teguh dengan 67% penggunaan keluli kekuatan tegangan tinggi.

Selain itu, pelbagai sistem bantuan pemandu seperti ABS+EBD, ESC, TCS, HSA, Bantuan Brek, dan TPMS turut disertakan.

Bagi mengukuhkan lagi daya tarikan dan meraikan kejayaan Magnite serta penarafan GNCAP, Nissan Motor India juga telah memperkenalkan pilihan warna baharu iaitu Metallic Grey.

Pilihan warna ini akan tersedia untuk varian Tekna, Tekna+, dan N Connecta.

Nissan Magnite baharu kini terdapat di lebih 65 negara, merangkumi kedua-dua pasaran pemanduan kanan dan kiri.

Spesifikasi Rangkaian Kuasa Nissan Magnite

Enjin 1.0L Petrol (NA Petrol / EZ-Shift Petrol)

  • Sesaran: 999 cc
  • Kuasa Maksimum: 72 ps @ 6250 rpm
  • Tork Maksimum: 96 Nm @ 3400-3600 rpm
  • Transmisi: 5-speed Manual (5 MT) atau EZ-Shift (5 MT)

Enjin 1.0L Turbo Petrol (Turbo Petrol)

  • Sesaran: 999 cc
  • Kuasa Maksimum: 100 ps @ 5000 rpm
  • Tork Maksimum: 160 Nm @ 2800-3600 rpm
  • Transmisi: 5-speed Manual (5 MT)

Enjin 1.0L Turbo Petrol (X-Tronic CVT Petrol)

  • Sesaran: 999 cc
  • Kuasa Maksimum: 100 ps @ 5000 rpm
  • Tork Maksimum: 152 Nm @ 2200-4400 rpm
  • Transmisi: Continuously Variable Transmission (CVT)

Kredit gambar: Nissan

Google ads
Back to top button