
NISSAN Z 2027 TAMPIL GAYA KLASIK, HARGA NAIK HAMPIR RM7,000
Nissan memperkenalkan model Z 2027 dengan beberapa sentuhan baharu yang memberikan imej lebih klasik, namun pembeli perlu bersedia membayar lebih apabila harga jualannya meningkat sekitar AS$1,510 (kira-kira RM6,170) berbanding model sebelumnya.
Walaupun tiada perubahan besar dari segi mekanikal, coupe sport itu menerima beberapa pembaharuan kosmetik yang menjadikannya tampil lebih segar.
Antaranya ialah kemasan sewarna badan pada bingkai gril hadapan, rekaan bampar yang dikemas kini serta lencana ‘Z’ menggantikan logo Nissan di bahagian hadapan.

Turut melengkapkan penampilan baharu ialah rim aloi 19-inci dengan jejari berwarna hitam yang menyerlahkan karakter sporty tanpa keterlaluan. Warna baharu Shinkai Green Pearl Metallic juga menjadi antara tarikan utama bagi model tahun 2027.
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih agresif, Nissan terus menawarkan varian Z Nismo, namun buat pertama kali ia kini boleh dipilih bersama transmisi manual enam kelajuan tanpa sebarang caj tambahan berbanding versi automatik.
Model Nissan Z 2027 ditawarkan dalam empat varian iaitu Z Sport, Z Performance, Z Nismo AT dan Z Nismo Manual, dengan pilihan transmisi manual atau automatik bergantung kepada varian.

Harga permulaan bagi Z Sport kini bermula pada AS$45,725 (RM186,859), manakala Z Nismo pula dijual bermula AS$68,505 (RM279,952), termasuk caj penghantaran. Kesemua varian menerima kenaikan harga yang sama iaitu AS$1,510 (RM6,170.
Dalam masa sama, Nissan turut memaklumkan bekalan model Z untuk pasaran tahun 2027 dijangka agak terhad, dengan kebanyakan pengedar hanya menerima sekitar dua hingga tiga unit sahaja.
Justeru, pelanggan yang berminat terutama dengan pilihan warna popular disaran membuat tempahan lebih awal.


