
GWM ORA 5 BAKAL TAMPIL LEBIH GARANG, DEDAH VARIAN SPORT DAN GT BAHARU
GWM meneruskan usaha menyegarkan barisan model Ora 5 apabila memperlihatkan imej acah bagi dua varian baharu dikenali sebagai Sport dan GT untuk pasaran China.
Kedua-duanya tampil dengan perubahan kosmetik yang lebih agresif tanpa mengubah identiti asas crossover berkenaan.
Varian Sport menerima sentuhan sederhana dengan gabungan warna badan dua tona termasuk bumbung putih, rim bersaiz lebih besar, angkup brek merah serta unit LiDAR pada bahagian bumbung. Ciri LiDAR itu ketika ini hanya ditawarkan pada versi elektrik (EV).

Sementara itu, varian GT tampil lebih menonjol menerusi kit badan aerodinamik yang merangkumi splitter hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang.
Kemasan merah pada rim, lampu hadapan, brek serta komponen aero memberikan imej lebih sporty. Berdasarkan imej yang dikongsi, model GT itu juga dipercayai menggunakan trenkuasa elektrik kerana mempunyai port pengecas pada fender hadapan.
Walaupun penampilannya berubah dengan ketara, GWM masih belum mengesahkan sama ada varian Sport dan GT akan menerima peningkatan kuasa enjin atau talaan suspensi. Ia juga belum memutuskan sama ada pakej tersebut akan ditawarkan untuk versi enjin petrol dan hibrid selain EV.

Ora 5 ditawarkan dengan tiga pilihan trenkuasa iaitu elektrik sepenuhnya (EV), hibrid elektrik (HEV) dan enjin petrol.
Versi EV menggunakan motor elektrik hadapan berkuasa 150kW (201hp) bersama pilihan bateri LFP berkapasiti 45.3kWh atau 58.3kWh yang mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 480 km dan 580 km mengikut kitaran CLTC.
Bagi varian petrol, ia dikuasakan enjin 1.5 liter turbo VGT yang menghasilkan 181hp dan dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan. Model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 190 km/j.

Versi HEV pula menggabungkan enjin turbo 1.5 liter bersama motor elektrik hadapan dan transmisi hibrid dua kelajuan (DHT), menghasilkan kuasa gabungan 223hp. Pecutan 0-100 km/j direkodkan dalam 7.7 saat dengan penggunaan bahan api sekitar 4.5 liter bagi setiap 100 km.
Ora 5 turut menjadi model pertama GWM yang menggunakan sistem bantuan pemanduan Coffee Pilot 3 OS dengan fungsi Navigation on Autopilot (NOA). Sistem itu dikatakan mampu mengendalikan pemanduan automatik sehingga tiga kilometer di dalam parkir bertingkat.
Selain itu, GWM mendakwa Ora 5 bakal menjadi antara model paling mampu milik di China yang menawarkan teknologi LiDAR, walaupun ciri tersebut disediakan sebagai pilihan tambahan.
Dari segi dimensi, Ora 5 berukuran 4,471mm panjang, 1,833mm lebar dan 1,641mm tinggi, dengan jarak roda 2,720mm. Model ini menggunakan suspensi hadapan jenis MacPherson dan suspensi belakang multi-link bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian.



