
NISSAN Z FACELIFT 2026 DIDEDAHKAN DI TOKYO AUTO SALON
Walaupun baru kira-kira tiga tahun berada di pasaran, Nissan Z kini menerima nafas baharu menerusi kemas kini ringan (facelift) yang diperkenalkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon.
Model yang dikenali sebagai Fairlady Z di Jepun ini tampil dengan perubahan kecil tetapi cukup ketara, khususnya pada bahagian luaran.
Antara pembaharuan paling menonjol ialah rekaan gril hadapan. Gril bersaiz besar sebelum ini telah digugurkan dan digantikan dengan susun atur dua bahagian yang lebih kemas.
Bahagian atas menampilkan jalur melintang nipis, manakala bahagian bawah pula lebih terbuka bagi meningkatkan aliran udara, dipisahkan oleh panel berwarna badan kenderaan untuk penampilan yang lebih bersih dan moden.

Nissan turut memperkenalkan warna baharu yang dinamakan Unryu Green, iaitu interpretasi moden kepada warna klasik Grand Prix Green.
Warna ini dipadankan dengan rim aloi baharu bersaiz 19-inci dengan rekaan 10 jejari, sekali gus memberikan imej lebih tajam dan sporty kepada jentera coupe tersebut.
Di bahagian kabin, perubahan adalah minimum. Pilihan upholsteri kulit berwarna tan cerah kini ditawarkan, namun selebihnya kekal hampir sama seperti model sedia ada.
Untuk varian prestasi tinggi Nismo pula, transmisi manual kini tersedia, walaupun beberapa imej awal menunjukkan kehadiran paddle shifter yang dipercayai digunakan bagi fungsi rev-matching.

Bukan sekadar kosmetik, Nissan Z versi terkini turut menerima penambahbaikan mekanikal. Sistem suspensi telah ditala semula dengan penggunaan piston penyerap hentak yang lebih besar bagi meningkatkan kestabilan serta tindak balas pemanduan.
Selain itu, sistem brek juga dinaik taraf, terutamanya untuk varian Nismo, bagi memberikan kuasa membrek yang lebih berkesan.
Nissan dijangka mula memasarkan model yang dikemas kini ini di Jepun sekitar musim panas 2026 sebelum diperluaskan ke pasaran lain.

