
BHPETROMART, eNak TAMPIL DENGAN KONSEP DAN IDENTITI BAHARU
BHPetrol memperkenalkan wajah baharu BHPetromart dan jenama makanan segera, eNak, menerusi majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di stesen BHPetrol Kampung Sungai Kayu Ara, di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Pembaharuan ini menampilkan pendekatan reka bentuk yang lebih segar dan moden, sekali gus memberi nafas baharu kepada imej stesen minyak tempatan itu serta meningkatkan keselesaan dan pengalaman pelanggan.
Konsep baharu BHPetromart dan eNak dibangunkan melalui kerjasama strategik bersama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), sebuah anak syarikat MARA.

Usaha tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan identiti jenama, susun atur runcit yang lebih praktikal serta persekitaran membeli-belah lebih mesra pengguna.
eNak pula diperkenalkan sebagai jenama makanan dan minuman siap sedia (ready-to-eat) yang menawarkan pelbagai pilihan seperti kopi, pastri serta makanan separa masak.
Dengan pembukaan kiosk keempat di Kampung Sungai Kayu Ara, rangkaian eNak kini turut beroperasi di BHPetrol Lebuhraya KL-Klang, Taman Melawati dan Kampung Baharu Puchong.

BHPetrol menyasarkan lebih 50 kiosk eNak dapat dibuka dalam tempoh lima tahun akan datang.
Stesen BHPetrol Kampung Sungai Kayu Ara turut menyediakan bahan api Infiniti Petrol RON95 dan RON97, Diesel B10 serta Diesel B7.
Selain itu, pengguna juga boleh menikmati bekalan petrol yang stabil termasuk kemudahan subsidi kerajaan melalui program BUDI95.

Bagi keselesaan pelanggan, stesen ini dilengkapi kedai serbaneka BHPetromart, surau, kios eNak dan Dunkin, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), perkhidmatan cucian kereta serta tandas yang lebih selesa.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mohammad Ashraf Md. Radzi, bersama Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.
Turut hadir barisan pengurusan tertinggi BHPetrol, wakil LTAT, pengusaha stesen minyak, rakan niaga serta wakil media.

Menurut Ir. Azizul Azily, penjenamaan semula ini mencerminkan komitmen BHPetrol untuk terus memperluaskan rangkaiannya di seluruh Semenanjung Malaysia serta mengangkat jenama tempatan agar mampu berdiri setanding dengan pemain industri yang lebih besar.
“Kami mahu memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang lebih baik, kemudahan yang lengkap serta pengalaman yang lebih selesa setiap kali berkunjung ke stesen BHPetrol,” katanya.
- BACA: VALVE HEAD COVER PLASTIK TAK BAGUS KE?
- BACA: TOYOTA VIOS HYBRID 2026 DIPERKENALKAN – DUA VARIAN TERMASUK GR SPORT, ANGGARAN HARGA BERMULA RM103K
- BACA: HYUNDAI MOTOR MALAYSIA SEDIA TAWARAN EKSKLUSIF UNTUK TUCSON BAHARU – KINI BERMULA RM125,888
- BACA: VOLVO EX60 DILANCARKAN 21 JANUARI – TAWAR JARAK GERAK 810KM







