Buletin

TOYOTA GR COROLLA 2026 AT DILANCARKAN DI MALAYSIA – HARGA RM378,950

UMW Toyota Motor kini memperluaskan barisan model prestasi Gazoo Racing di Malaysia dengan melancarkan Toyota GR Corolla 2026 versi transmisi automatik (AT).

Model baharu ini ditawarkan pada harga RM378,950, iaitu RM10,000 lebih tinggi berbanding varian manual yang telah berada di pasaran sebelum ini.

Penggunaan transmisi automatik lapan kelajuan GR Direct Automatic Transmission (GR-DAT) menjadikan model ini lebih mudah diakses oleh golongan pemandu harian, tanpa mengorbankan karakter prestasi yang sinonim dengan lencana GR.

Menurut Toyota, sistem GR-DAT dibangunkan khusus untuk model GR dan berbeza daripada transmisi automatik yang digunakan pada GR Supra dan GR86.

GR Corolla AT ini masih menggunakan enjin yang sama, iaitu unit 1.6 liter turbo tiga silinder 16E-GTS yang menjana kuasa 300hp dan tork maksimum 400Nm.

Gabungan ini membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam masa 5.3 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 230 km/j – angka yang setara dengan versi manual.

Dari segi sistem pacuan, model ini mengekalkan konfigurasi pacuan semua roda GR-Four serta dua unit diferensial jenis Torsen limited-slip. Tiga mod agihan kuasa disediakan:

  • Sport: 60:40 (depan:belakang)
  • Gravel: 50:50
  • Track: berubah sehingga 30:70

Mod Gravel dan Track ini telah dikemas kini dalam naik taraf global terkini dan turut digunakan pada varian manual.

Bagi menyesuaikan karakter transmisi automatik, Toyota turut menala semula mod pemanduan serta menambah sistem launch control untuk pecutan maksimum dari keadaan pegun.

Aspek penyejukan juga dipertingkatkan melalui pemasangan penyejuk minyak transmisi jenis penyejukan udara, digabungkan dengan pengawal suhu cecair penyejuk berasaskan air.

Tambahan sebuah sub-radiator turut dipasang bagi membantu penyejukan enjin, lengkap dengan saluran udara khas pada bampar hadapan.

Selain itu, komponen lain kekal sama seperti versi manual, termasuk talaan suspensi yang telah disemak semula serta sistem ABS yang ditala semula bagi meningkatkan kestabilan ketika membrek.

Di bahagian kabin, skrin infotainmen kini bersaiz 10-inci dan menyokong Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar.

Cermin sisi juga dilengkapi indikator pemantau titik buta, menjadikan GR Corolla AT lebih praktikal untuk kegunaan harian, selari dengan sasaran pembeli yang mahukan prestasi tinggi tetapi dalam pakej yang lebih mesra pemandu.

GALERI:

Google ads
Back to top button