
RASMI: TOYOTA ASINGKAN JENAMA GAZOO RACING SEBAGAI ENTITI BARU
Empayar korporat Toyota yang sememangnya besar kini terus berkembang dengan penambahan jenama kelima. Hanya beberapa bulan selepas Century dipisahkan sebagai jenama berdikari, kini satu lagi jenama baru dilancarkan oleh Toyota iaitu Gazoo Racing pula secara rasmi dijadikan entiti tersendiri.
Pengeluar kereta terbesar dunia itu sebenarnya telah lama memberi bayangan mengenai pemisahan yang lebih jelas antara model Toyota biasa dan model GR, dan kini perancangan tersebut dimuktamadkan.
Selepas ini, Toyota Gazoo Racing akan dikenali ringkas sebagai Gazoo Racing, kembali kepada nama asal yang bermula sejak tahun 2007. Berdasarkan hierarki yang pernah digariskan sebelum ini, GR berada di atas jenama teras Toyota serta Daihatsu, tetapi di bawah Lexus dan jenama baharu Century.
Century sendiri kini beroperasi sebagai entiti bebas dengan aspirasi untuk bersaing dengan jenama ultra-mewah seperti Rolls-Royce dan Bentley. Sebelum pengumuman rasmi lagi, langkah ini sebenarnya sudah dapat dijangka.
Apabila GR GT diperkenalkan bulan lalu, tiada langsung lencana Toyota sama ada di bahagian luar mahupun di dalam kabin supercar ini. Malah, supercar V8 tersebut tidak akan dijual di pusat jualan Toyota, sebaliknya ditawarkan menerusi bilik pameran Lexus terpilih.
Seperti yang boleh dijangka, Gazoo Racing tidak akan terhad kepada GR GT sahaja. Sekiranya model MR2 benar-benar dihidupkan semula, besar kemungkinan ia juga tidak akan membawa lencana Toyota. Supra generasi baharu, yang kali ini dijangka dibangunkan tanpa kerjasama BMW, telah pun disahkan dan sesuai sepenuhnya berada dalam barisan GR.
Dalam masa sama, adalah logik untuk melihat 86 generasi seterusnya berperanan sebagai model peringkat permulaan bagi Gazoo Racing.
GR juga akan terus menepati maksud “Racing” dalam namanya dengan penyertaan berterusan dalam sukan permotoran peringkat tertinggi, termasuk World Rally Championship (WRC). Selain itu, jenama baharu ini turut akan memberi tumpuan kepada sukan permotoran pelanggan menggunakan kenderaan produksi. Kenyataan ini membuka harapan terhadap kemunculan model homologasi khas serta pelbagai kereta prestasi tulen.
Walaupun enjin V8 4.0 liter dwi-turbo baharu akan menjadi eksklusif untuk GR GT, model-model GR lain dijangka menggunakan enjin empat silinder baharu Toyota. Unit turbo 2.0 liter berkod “G20E” ini dikatakan menghasilkan lebih 400 kuasa kuda. Enjin ini berpotensi menjadi tunjang utama kepada divisyen GR kerana ia tidak terhad kepada konfigurasi enjin hadapan sahaja.
Konsep GR Yaris M pula menampilkan susun atur enjin tengah, sekali gus menguatkan khabar angin kebangkitan semula MR2. Seolah-olah itu belum cukup mengujakan, pengedar Toyota di Amerika Syarikat dikatakan telah menerima pratonton awal Celica versi baharu. Apabila digabungkan dengan Yaris dan Corolla versi hot hatch, barisan model portfolio GR berpotensi menjadi antara yang paling menarik sebelum dekad ini berakhir.
Dan itu bukan penamatnya. Jika anda masih ingat Toyota pernah memberi bayangan model konsep FT-Se dengan dua motor elektrik dan pacuan semua roda. Kereta sport elektrik sepenuhnya ini dijangka tiba selepas 2026, dan ia bukan satu-satunya model prestasi elektrik dalam empayar Toyota. Kereta konsep yang akan berkembang menjadi model LFA yang bakal dilancarkan kelak juga disahkan tidak akan menggunakan enjin pembakaran dalaman.

