Buletin

PEMANDU NISSAN NAVARA LANGGAR PASANGAN SUAMI ISTERI SUDAH DITAHAN POLIS

Polis sudah menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara disyaki terbabit insiden langgar lari sebelum Plaza Tol Duta di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek adalah lelaki tempatan berusia 32 tahun dan dia direman dua hari.

“Penunggang iaitu lelaki tempatan berusia 53 tahun, mengalami retak tulang selangka dan luka di bahagian buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun mengalami kecederaan lebih serius.

“Wanita itu mengalami kecederaan patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan dalam otak akibat pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 2.30 petang membabitkan pacuan empat roda berkenaan dengan motosikal mangsa jenis Benelli TRK 502.

Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, suspek cuba memotong sebuah motosikal lain namun gagal mengelak motosikal mangsa dan melanggar bahagian kanan kenderaan berkenaan.

“Laporan polis pertama diterima pada hari yang sama, pada 6.55 petang dibuat oleh pemandu pacuan empat roda terbabit.

“Susulan siasatan, permohonan reman dibuat dan suspek kini ditahan selama dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, kedua-duanya mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut. Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah pacuan empat roda melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit. – Harian Metro

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button