
NISSAN NAVARA PRO-4X WARRIOR, DARI AUSTRALIA KE AFRIKA SELATAN!
Selain Thailand, Australia merupakan lubuk pikap kerana geografinya yang pelbagai. Australia juga menjadi lokasi pembangunan sesebuah pikap.
Satu daripada produk Australia ialah Warrior by Premcar yang bermula pada tahun 2019. Projek ini melibatkan naik taraf model-model Nissan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan yang mencabar.
Sejak diperkenalkan lebih daripada 12,000 unit model Warrior telah diubahsuai di Australia yang merangkumi Navara SL Warrior, Nissan Navara PRO-4X Warrior dan Nissan Patrol Warrior.
Terbaru, dengan kerjasama di antara Nissan Australia, Nissan Afrika Selatan dan Premcar program ini diperluaskan ke Afrika Selatan untuk pelanggan menikmati Nissan Navara PRO-4X Warrior.
Navara PRO-4X Warrior direka khusus untuk memenuhi permintaan pasaran Afrika Selatan terhadap trak pikap pacuan empat roda yang tangguh dan berkeupayaan tinggi.
Tidak hanya mengambil unit Australia, Premcar telah melakukan pengubahsuaian berikut:
- Penalaan casis khas untuk Afrika Selatan (Spring suspensi dan penyerap hentakan baharu dengan teknologi yang ditala untuk jalan raya dan pemanduan tempatan)
- Tayar AT Maxxis RAZR untuk keadaan tempatan.
- Reka bentuk dan pemasangan bumper bar depan unik untuk Afrika Selatan.
Perkakasan lain seperti pendakap gerbang roda dan kerusi merupakan ciri-ciri khas Navara PRO-4X Warrior by Premcar.
Navara PRO-4X Warrior dikuasakan oleh enjin diesel DDTi 2.5 liter yang menghasilkan 190 ps dan 450Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 7 kelajuan dan sistem pacuan empat roda.
Nissan membekalkan tangki bahan api 80 liter untuk pengembaraan jarak jauh. Seperti yang dikatakan, perubahan dibuat pada suspensi yang turut menambah jarak kelegaan bumi kepada 232 milimeter (mm).
Trek depan dan belakang yang lebih lebar menambah kestabilan laluan mencabar dan menjadikan Warrior pilihan ideal untuk laluan berbatu dan berpasir.
Perubahan pada suspensi belakang juga memastikan muatan kekal stabil walaupun di permukaan yang tidak rata.
Dari segi penampilan, Warrior tampil garang dan menarik dengan perkakasan hitam seperti jeriji depan, pemegang pintu, rak bumbung, pelapik sisi dan roda.
Penampilan pikap ini diserikan dengan riasan merah dan lencana Nissan hitam dan merah.
Tema sama turut diguna pada bahagian dalam seperti kerusi balutan hitam dengan jahitan merah dan logo Warrior dengan jahitan merah.
Sebagai pikap moden, pikap ini dilengkapi skrin sentuh lapan inci, paparan bantuan pemandu tujuh inci dan kawalan iklim zon dwi.
Keselamatan pemandu dan penumpang diutamakan dengan pelbagai ciri canggih seperti Nissan Intelligent Mobility, termasuk amaran perlanggaran hadapan dan amaran keluar lorong.
Turut dilengkapi pemantauan titik buta, dan monitor pandangan sekeliling dengan mod off-road.
Casis yang diperkukuhkan dan sistem beg udara yang komprehensif memberikan perlindungan tambahan, dengan beg udara impak sisi dan tirai yang menawarkan perlindungan tambahan sekiranya berlaku perlanggaran.
Kawalan penurunan bukit dan bantuan mula bukit memastikan pengendalian yang selamat di cerun curam.
Sebagai bukti komitmen terhadap kualiti, Premcar menawarkan waranti 6 tahun atau 150,000 kilometer untuk semua komponen dan pengubahsuaian yang dipertingkatkan oleh Warrior.
Nissan Navara PRO-4X Warrior ditawarkan di Afrika Selatan pada April 2025 dengan harga anggaran R924,000 (RM214,541).
Kredit gambar: Nissan














