
TEMPAHAN NISSAN NAVARA X-TREMER 2025 DIBUKA. 3 VARIAN, REBAT TUNAI SEHINGGA RM8K, BERMULA RM135K
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) secara rasmi mengumumkan tempahan untuk Nissan Navara X-Tremer kini sudah dibuka di pasaran Malaysia. Dengan penampilan lebih maskulin serta peningkatan dari segi keselesaan dan teknologi, model itu wajar diberi perhatian.
Dari segi rekaan luaran, Navara X-Tremer mengekalkan prestasi dan keupayaan Navara yang cukup dikenali, selain dilengkapi sentuhan yang lebih agresif.
Gril hadapan baharu dengan kemasan hitam, rekaan bampar bergaya X-formation dan kemasan fender dengan ilham gentian karbon menyerlahkan karakter lasak pikap ini. Ia turut menerima antena sirip jerung, bampar belakang hitam baharu dan pelekat pada tailgate yang eksklusif.

Bahagian dalaman pula mempamerkan keseimbangan antara keselesaan dan teknologi. Kabin Navara X-Tremer menampilkan papan pemuka baharu dengan sentuhan lembut serta jahitan, digabungkan dengan konsol tengah yang lebih kemas dan stereng dibalut kulit.
Unit infotainmen bersaiz 8 inci kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri lain seperti tempat duduk QUOLE MODURE yang tahan kotoran dan mengurangkan penyerapan haba, serta kerusi hadapan Zero Gravity memberikan keselesaan terbaik walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh.
Navara X-Tremer baharu dipasang dengan sistem suspensi yang terdiri daripada Independent Double-Wishbone dengan bar penstabil di hadapan serta Multilink Suspension dengan Dual-Rate Coil Springs di belakang.
Gabungan itu memastikan kestabilan dan keselesaan walaupun ketika membawa beban. Sistem brek cakera berventilasi di hadapan dan brek dram di belakang turut memberikan kawalan ketika membrek yang mantap.

Dari segi keselamatan, trak pikap itu hadir dengan teknologi Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi sistem amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran titik buta, amaran keluar lorong dan amaran lintasan trafik belakang.
Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi pelbagai sistem keselamatan aktif seperti ABS, EBD, Brake Assist, Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Active Brake Limited Slip, Hill Start Assist, Hill Descent Control, Trailer Sway Assist dan Electronic Locking Rear Differential untuk kawalan optimum dalam pelbagai situasi pemanduan.
Navara X-Tremer hadir dengan pakej kemasan luaran dan dalaman yang eksklusif ditawarkan dalam tiga varian. Varian 2.5L Turbo V dijual pada harga RM134,800 (RM136,850 di Sabah dan Sarawak), manakala varian 2.5L Turbo VL pula berharga RM146,900 (RM148,950 di Sabah dan Sarawak).
Bagi mereka yang mahukan penampilan lebih garang, varian tertinggi 2.5L Turbo Pro-4X berharga RM154,800 (RM156,850 di Sabah dan Sarawak). Sempena pelancarannya, ETCM menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk pelanggan yang membuat pembelian dan pendaftaran segera.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri kehebatan model ini, pra-tonton akan diadakan di East Coast Mall, Kuantan bermula 10 hingga 14 September 2025. Bagi yang tidak berpeluang hadir, anda boleh mengunjungi bilik pameran Nissan di seluruh negara untuk menempah sesi pandu uji.
Maklumat lanjut, sila menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838.







