
CURI NAVARA DI SHOWROOM NISSAN DI SABAH, JUAL RM10K SAHAJA. SUSPEK SUDAH DITAHAN POLIS
Dua suspek warga tempatan terlibat dalam kes mencuri kenderaan di premis pameran, berjaya dicekup oleh pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Suspek berusia 39 tahun dan 36 tahun itu mencuri pacuan empat roda jenis Nissan Navara bernilai RM180,000 sebelum dijual dengan harga tak masuk akal iaitu RM10,000.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, jenayah pecah premis pameran kenderaan itu berlaku kira-kira jam 4.20 pagi 8 Mac lalu di Jalan Lintas, Kapayan.

Bagaimanapun, kenderaan itu berjaya ditemui semula selepas dua suspek kes pecah premis itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Rabu lalu.
Katanya, hasil risikan serta maklumat awam berjaya mengesan suspek lelaki berusia 39 dan 36 tahun yang bersembunyi di Semenanjung.
“Kedua-dua suspek kemudian ditahan sebaik mereka tiba dari Semenanjung. Hasil siasatan mereka mengaku terlibat dalam kes ini serta menjual salah sebuah pacuan empat roda kepada seorang pembeli lelaki berusia 28 tahun di Kolombong dengan harga RM10,000.
Selain mencuri kenderaan, polis turut berjaya menyelesaikan pelbagai kes pecah rumah serta jenayah lain yang dilakukan suspek bukan saja di Sabah tetapi juga di Selangor serta Perak.
Menurut kenyataan Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, suspek mempunyai rekod kes jenayah lampau termasuk pernah dikenakan pengawasan polis di Perak dan Pulau Pinang namun dibebaskan pada 2022.
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek terlibat dalam kes berkenaan. – Sinar Harian
- BACA: BAU KEDAI MASIH BELUM HILANG, PENCURI LARIKAN MPV BAHARU MILIK DJ RADIO
- BACA: KES CURI KERETA DI PETALING JAYA NAIK 20.7 PERATUS
- BACA: ENAM DODGE CHALLENGER SRT HELLCAT BAHARU DILARIKAN PENCURI – GONE IN 40 SECONDS MAA
- BACA: SINDIKET CURI KERETA MEWAH DI BENGKEL, PARKIR VALET DAN KEDAI CUCI KENDERAAN AKHIRNYA TUMPAS