Artikel Pilihan

PERODUA ATIVA 18.9KM/L. KERETA MANA LAGI JIMAT PETROL?

Tahun lepas sewaktu PKP kali pertama berlaku, harga bahan api petrol dan diesel jatuh pada tahap yang paling rendah iaitu sekitar RM 1.50 seliter. Baru memasuki bulan Mac 2021, harga petrol RON 95 naik menjadi RM 2.05 seliter, RON 97 naik menjadi RM 2.35 seliter dan diesel RM 2.15 seliter. Dengan keadaan ekonomi yang tidak memberansangkan keadaan ini memberi bebanan kewangan pengguna.

Bagi pembeli yang bakal membuat pembelian kereta pada tahun ini samaada baru atau unit terpakai, anda perlu mengambil kira kos bahan api serta kecekapan enjin bagi memastikan anda mendapat jarak perjalanan yang maksima dari setiap liter petrol. Sebagai contoh, Perodua Ativa berupaya mencatatkan penggunaan petrol sekitar 18.9km bagi setiap liter

Ini bermakna dengan satu tangki penuh, Perodua Ativa boleh dipandu sejauh 680km. Ok untuk lebih realistik bagi pemanduan normal (brek, ada kesesakan jalan, pecutan, sangkut di lampu merah) jarak 580km mungkin lebih logik. Kami senaraikan di sini purata penggunaan petrol beberapa kereta popular rakyat Malaysia.

1. Perodua Bezza 1.3X – dikuasakan dengan enjin 1NR-VE DOHC Dual VVT-i ia merupakan pilihan tepat untuk kegunaan harian. Dengan berat kereta sekitar 930kg sahaja, ia mencatatkan bacaan petrol sekitar 22.22km/l. Ujian sebenar oleh penulis dengan meibatkan halaju sekitar 120-140km/j, Bezza masih berupaya mencatatkan bacaan sekitar 18.8km/l.

2. Perodua Axia – dikuasakan dengan enjin 1KR-VE DOHC namun dari aspek teknologi pemasaan enjin ia hanya menggunakan VVT-i sahaja. Dengan berat kereta sekitar 860kg sahaja, Axia mencatatkan bacaan purata sekitar 21.7km/l. Ujian sebenar yang dilakukan oleh penulis dengan Bezza 1.0G (enjin sama dengan Axia) mencatatkan purata bacaan sekitar 20km/l pada halaju 100km/j.

3. Perodua Myvi 1.5AV – dikuasakan dengan enjin 2NR-VE yang menghasilkan 102 kuasa kuda. Dengan cesi seberat 1015kg, Myvi mencatatkan bacaan sekitar 20km/l. Tapi dalam ujian pemanduan sebenar oleh penulis, bacaan yang dicatatkan ialah sekitar 19km/l pada halaju 110km/j.

4. Mazda2 Hatchback – kereta kompak ini menggunakan enjin 1.5 DOHC SkyActiv yang menghasilkan 114 kuasa kuda dengan padanan kotak gear 6 kelajuan automatik. Agak sukar untuk menahan diri dari terus memecut kereta ini. Purata penggunaan petrol yang diberikan oleh Mazda ialah 18.8km/liter tapi ujian sebenar yang dibuat oleh penulis mencatatkan bacaan 17.7km/liter.

5. Honda City – versi terbaru yang dilancarkan menggunakan enjin L15A7 i-VTEC namun dengan naiktaraf DOHC berbanding dengan enjin lama SOHC. City mencatatkan purata penggunaan petrol sekitar 18.5km/l. Namun dalam satu ujian yang dibuat oleh penulis dengan City GM6, ia berupaya mencatatkan purata penggunaan petrol sehingga 20.9km/l untuk perjalanan jarak jauh pada halaju 110km/j.

6. Nissan Almera 2018 – generasi baru yang menggunakan enjin 3 silinder turbo berjaya mencatatkan bacaan sekitar 18.4km/l, beza sedikit dengan Honda City. Dengan tangki sebesar 35 liter, ia boleh dipandu sejauh 644km (600km lebih realistik).

7. Toyota Vios – Vios generasi terbaru menggunakan enjin 1.5 DOHC dual VVT-i dengan transmisi CVT pula berjaya mencatatkan purata sekitar 17.2km/liter. Dalam ujian yang dibuat oleh penulis, bacaan ini boleh menjadi sekitar 19km/l jika dipandu pada jarak jauh dengan halaju 110km/j. Ketika ini bacaan RPM hanyalah sekitar 1900 sahaja.

8. Honda Civic 1.5 TC – dipadankan dengan enjin L15B7 1500cc Turbo DOHC serta transmisi CVT, Civic mencatatkan bacaan sekitar 17.2km/l. Satu angka yang agak bagus bagi enjin yang boleh menghasilkan 173 kuasa kuda.

9. Proton Persona – walaupun menerima kritikan disebabkan Persona masih lagi menggunakan enjin 1.6 DOHC VVT sahaja, jika dipandu secara berhemah antara 100-100km/j (berdasarkan pengalaman penulis) Persona boleh mencatatkan bacaan sekitar 16.5km/l untuk perjalanan jarak jauh. Namun angka ini sukar untuk dicapai dalam pemanduan bandar.

ptroz

10. Mazda3 Sedan – walaupun menggunakan enjin 2000cc DOHC, namun dengan teknologi SkyActiv penggunaan petrol sangat memuaskan. Dengan enjin yang menghasilkan 162 kuasa kuda dan 213Nm tork ini berupaya mencatatkan purata sekitar 16.2km/liter. Ujian sebenar oleh penulis mencatatkan bacaan yang lebih baik pada 16.4km/liter.

Antara kereta lain yang pernah diuji oleh penulis ialah Proton Saga 1.3 Auto dengan bacaan 13.8km/liter dan Perodua Aruz dengan bacaan 14km/ liter (15.6 dari data Perodua). Bagi Proton X50 1.5 TD, bacaan purata yang diberikan ialah 15.3km/ liter petrol.

Google ads
Back to top button