Motosikal

BMW S 1000 RR 2021. 207HP, TOP SPEED 299KM/J. RM121,500 SEUNIT

BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini memperkenalkan BMW S 1000 RR ke pasaran tempatan.

Superbike ikonik itu kini didatangkan dengan piliahan Pakej BMW M yang sangat sporty. Ia hadir dalam tiga warna menarik iaitu perak, hitam serta gabungan warna putih-biru dan putih merah.

BMW S 1000 RR dilengkapi teknologi LED untuk lampu hadapan dan belakang serta lampu isyarat membelok. Jentera tersebut dikuasakan oleh enjin sebaris 4 lejang 4 silinder bersama sistem penyejukan cecair.

Berkapasiti 999cc, enjin itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 207hp pada 13,500rpm dan tork 113Nm. Kelajuan maksimum ialah 299km/j dengan pengunaan bahan api adalah sekitar 6.4 liter bagi setiap 100km.

Model itu turut dilengkapi teknologi BMW ShiftCam yang terdiri daripada pemasaan injap titanium dan lejang injap boleh ubah.  

BMW S 1000 RR menawarkan empat mode tunggangan iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race yang lengkap dengan Riding Mode Pro.

Mode itu mengawal fungsi seperti Dynamic Traction Control dan ABS Pro bagi menawarkan keselamatan lebih baik ketika membrek atau dalam posisi menyendeng.

Manakala sistem BMW Motorrad Integral ABS membekalkan tahap keselamatan yang bertaraf lebih tinggi. Dynamic Damping Control juga melengkapi varian baharu ini sebagai standard, termasuk Hill Start Control dan HP Shift Assistant Pro.

Panel instrumen menampilkan skrin TFT 6.5 inci yang dihubungkan dengan Multi Controller pada panel bar hendal sebelah kiri. Skrin paparan yang disuaikan secara peribadi juga menawarkan pelbagai kegunaan kepada penunggang.

Ia juga hadir dengan ciri ketersambungan untuk menawarkan fungsi pemain muzik dan panggilan telefon. Menerusi BMW Motorrad Connected App, penunggang boleh mengakses statistik selepas setiap tunggangan.

Kelengkapan pilihan yang  ditawarkan untuk BMW S 1000 RR yang kini disediakan sebagai standard. Pakej BMW M merangkumi roda karbon M, tempat duduk sport M dan bateri ringan M.

Aksesori pilihan yang dijual berasingan ialah seperti komponen peletak kaki karbon M, tuil klac brek M, aneka pilihan perisai angin, M Datalogger dan M Laptrigge, tempat duduk M dengan pelbagai ketinggian, kit pelitup M, kit kalibrasi M, beg tangki dan beg belakang.

Sudah berada di semua pusat pengedaran BMW Motorrad yang sah bermula 26 Februari 2021, BMW S 1000 RR ditawarkan pada harga RM121,500 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button