Buletin

PERODUA RANGKA PELAN BAHARU HADAPI SAINGAN DI INDONESIA

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) kini menilai semula strateginya di Indonesia, di mana model Myvi dipasarkan sebagai Daihatsu Sirion, susulan rancangan republik itu membangunkan kereta nasional.

Mengakui bahawa pelan kereta nasional Indonesia boleh memberi kesan kepada jualan masa depan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, jumlah jualan kebelakangan ini tidak begitu menggalakkan.

“Namun, jika kami boleh membawa sesuatu yang baharu ke pasaran, saya percaya kami boleh mengekalkan angka jualan kami,” katanya.

Indonesia baru-baru ini mengumumkan akan mula mengeluarkan kereta buatan tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Presiden Prabowo Subianto dilaporkan berkata, dana sudah diperuntukkan dan tanah bagi pembinaan kilang juga telah disediakan.

“Kami telah memulakan inisiatif ini. Kita akan mempunyai kereta buatan Indonesia dalam tiga tahun akan datang.

“Saya sudah memperuntukkan dana, dan tanah untuk kilang sudah sedia. Pasukan kini sedang bekerja, dan kami sudah pun menghasilkan jip buatan Indonesia,” katanya seperti yang dipetik agensi berita Antara.

Perkembangan ini dijangka meningkatkan persaingan buat Perodua dalam pasaran automotif terbesar Asia Tenggara, di mana jenama tempatan dan dasar perindustrian kebangsaan memainkan peranan yang semakin berpengaruh.

Bagaimanapun, hubungan sekian lama Perodua dengan Daihatsu dari Jepun – yang memiliki pangkalan pengeluaran utama di Indonesia – dijangka dapat menyediakan penampan strategik ketika syarikat itu mengkaji semula pendekatannya.

Pada masa sama, Perodua sedang giat meluaskan jejaknya di luar negara.

Syarikat itu sudah mula mengeksport kereta terpakai dengan Bangladesh sebagai destinasi pertama, kata Zainal di Pameran Mobiliti Jepun 2025 pada Khamis.

Katanya, Perodua sedang meneroka destinasi baharu seperti Kenya dan Mozambique.

Langkah itu, jelas Zainal, boleh membantu menguruskan kepadatan kenderaan di Malaysia sambil membuka aliran pendapatan baharu.

Beliau turut mendedahkan bahawa Perodua sedang mengkaji Timor-Leste sebagai pasaran berpotensi baharu susulan penyertaan negara itu ke dalam Asean, sekali gus menyertai Brunei dan Indonesia dalam fokus eksport serantau syarikat.

“Kami berbangga di negara seperti Papua New Guinea dan Timor-Leste, serta di Surabaya, Indonesia, Perodua telah menjadi nama yang dipercayai – malah digunakan sebagai kereta polis di beberapa tempat,” kata Zainal.

Dalam pada itu, beliau berkata Perodua akan memperkenalkan langkah tindak balas bagi mengurangkan kesan kemungkinan tempoh pinjaman lebih pendek ke atas pembeli kereta.

Syarikat sedang menilai bagaimana perubahan sedemikian boleh mempengaruhi kemampuan memiliki kenderaan dan kos pemilikan keseluruhan.

“Dahulu, Perodua dikenali kerana harganya yang murah. Hari ini, kami bercakap soal mobiliti mampu milik – mobiliti sebagai gaya hidup,” katanya.

Zainal menyatakan, walaupun syarat pinjaman lebih singkat mungkin membebankan pembeli dalam jangka pendek, Perodua bersedia melancarkan langkah-langkah bagi membantu meringankan peralihan itu.

“Lama-kelamaan, kami menjangkakan gangguan yang minimum, mengambil kira nilai jualan semula Perodua yang kukuh dan penekanan pada jumlah kos pemilikan,” tambahnya.

Bagi segmen kenderaan elektrik (EV), Zainal berkata Perodua turut meneroka model pemilikan inovatif, termasuk pajakan bateri, bagi mengekalkan harga permulaan dalam jangkauan pengguna pasaran massa.

“Pelanggan EV kami akan berbeza daripada pelanggan ICE (enjin pembakaran dalaman) kami, dan harga kami akan mencerminkan perkara itu.”

“Tetapi Insya-Allah, kami menyasarkan untuk mengekalkan nilai jualan semula yang lebih kukuh berbanding EV lain di pasaran,” tambahnya.

Kenyataan Zainal dikeluarkan ketika badan kawal selia dan institusi kewangan sedang menimbang penyesuaian pada syarat pembiayaan auto untuk mengukuhkan profil hutang isi rumah.

Pemerhati industri berkata sebarang anjakan ke arah tempoh pinjaman yang lebih pendek boleh membentuk semula tingkah laku pembelian kereta, khususnya dalam segmen permulaan dan pertengahan pasaran di mana Perodua mendominasi. – Harian Metro

Google ads
Back to top button