Buletin

MALAYSIA AUTOSHOW 2025 – PERODUA TUNJUK HALFCUT EV, KONFEM LANCAR DISEMBER 2025

Perodua hari ini mempamerkan prototaip EV dalam bentuk separuh potongan di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang berlangsung di MAEPS Serdang dari 9 hingga 15 Mei 2025.

Dilihat sebagai lembaran terakhir sebelum EV pertama Perodua itu dilancarkan pada Disember tahun ini, model separuh potongan ini menampilkan bahagian dalaman dan komponen utama jentera berkenan. Ia sekali gus memberi pandangan mendalam tentang teknologi dan reka bentuk yang digunakan. 

EV itu dijangka menggunakan bateri LFP dengan jarak pemanduan antara 400 hingga 410km. Bakal dijual pada harga sekitar RM80,000 seunit, menjadikannya antara EV paling mampu milik di Malaysia.

“Pameran kami membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam mengadaptasi teknologi EV. Ia juga menunjukkan pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh Perodua untuk mempromosikan mobiliti elektrifikasi di Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Para pengunjung juga berpeluang untuk melihat secara dekat dan merasai pengalaman berada di dalam EV berkenaan di dalam satu ruang khas. Cuma, anda tidak dibenarkan untuk merakam gambar atau video.

Perodua turut mempamerkan dua lagi projek di MAS 2025 iaitu:

  • X06E: Hasil kerjasama di antara Perodua dan Politeknik Muadzam Shah untuk membangunkan prototaip HEV/BEV.
  • Emo-1: Prototaip EV berdasarkan model Myvi yang dibangunkan bersama tiga universiti tempatan — Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Projek-projek ini menunjukkan komitmen Perodua dalam membangunkan ekosistem automotif tempatan dan memindahkan pengetahuan kepada rakyat Malaysia.

Dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada teknologi hijau, Perodua telah bekerjasama dengan syarikat Austria, Emerald Horizon untuk membangunkan sumber tenaga alternatif menggunakan thorium, sejenis unsur nadir bumi. Perodua juga menggunakan tenaga suria dan gas asli untuk mengurangkan jejak karbon, selaras dengan sasaran neutral karbon menjelang 2050.

GALERI

Google ads
Back to top button