Buletin

PETRONAS LUBRICANTS LANCAR PELINCIR ENJIN GENERASI BAHARU JEPUN

Pelancaran pelincir enjin generasi baharu oleh PETRONAS Lubricants International (PLI) mencipta sejarah tersendiri apabila syarikat itu memperkenalkan produk pertama di pasaran yang memperoleh pensijilan Japanese Automotive Standards Organization (JASO), khusus untuk enjin moden keluaran terkini Jepun.

Pengumuman tersebut dibuat sempena pameran automotif Tokyo Auto Salon, sekali gus meletakkan PLI sebagai antara peneraju industri dalam pembangunan pelincir berprestasi tinggi yang memenuhi keperluan teknologi enjin terkini.

Antara produk utama yang diperkenalkan ialah PETRONAS Syntium Supreme untuk kenderaan penumpang serta PETRONAS Urania bagi kegunaan mobiliti peribadi.

Pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan PLI dalam menyediakan penyelesaian teknikal yang disesuaikan khusus untuk pasaran Jepun.

Bagi segmen kenderaan penumpang, PETRONAS Syntium Supreme ditawarkan dalam spesifikasi 0W-16 dan 0W-20, direka untuk enjin moden yang menekankan kecekapan bahan api dan pelepasan emisi rendah.

Produk ini memenuhi piawaian prestasi tinggi API SQ serta tahap kecekapan bahan api ILSAC GF-7B.

Menggunakan teknologi CoolTech+, pelincir ini membantu mengawal suhu enjin dan proses pengoksidaan dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan pembentukan mendapan serta mengekalkan prestasi enjin sepanjang tempoh penggunaan minyak.

Kestabilan ricih yang dipertingkatkan turut memastikan perlindungan berterusan walaupun dalam keadaan pemanduan yang mencabar, selain membantu mencapai penjimatan bahan api sehingga 19 peratus.

Sementara itu, PETRONAS Urania 5000 JASO DL-1 0W-30 menandakan kemasukan pertama rangkaian Urania ke pasaran Jepun dan menjadi antara produk terawal PLI yang didaftarkan secara rasmi di bawah piawaian JASO.

Produk ini menyasarkan kenderaan komersial ringan dan direka untuk menawarkan ketahanan tinggi serta kebolehpercayaan jangka panjang.

Ia dilengkapi teknologi StrongTech, yang berfungsi mengukuhkan lapisan perlindungan minyak pada komponen enjin, memanjangkan jangka hayat enjin, menyokong jarak penukaran minyak yang lebih panjang serta mengurangkan masa kenderaan tidak beroperasi untuk penyelenggaraan.

Menurut PLI, pembangunan rangkaian baharu ini menggabungkan kepakaran penyelidikan global dengan keperluan prestasi tempatan, bagi memastikan pengguna di Jepun menikmati tahap kecekapan, ketahanan dan prestasi enjin yang lebih tinggi.

Kesemua produk baharu ini kini boleh didapati di Jepun menerusi Petroplan, pengedar sah bagi PETRONAS Lubricants International.

Google ads
Back to top button