
TEMPAHAN MITSUBISHI XFORCE DIBUKA AWAL FEBRUARI INI
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengesahkan ketibaan SUV kompak terbaharunya, Mitsubishi Xforce, untuk pasaran tempatan, dengan tempahan rasmi akan dibuka pada awal Februari 2026.
Model ini dibangunkan berteraskan falsafah produk “Exceed Xpectations”, dengan fokus kepada gabungan nilai praktikal, pengendalian mantap, reka bentuk moden, tahap keselesaan tinggi serta kecekapan penggunaan bahan api.
Dari sudut rekaan, Xforce tampil dengan identiti yang lebih segar dan kontemporari, sesuatu yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila model ini memenangi iF Design Award 2024 dalam kategori Reka Bentuk Produk.

Anugerah ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara SUV kompak dengan pendekatan styling yang menonjol dalam segmennya.
Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,390mm panjang, 1,810mm lebar dan 1,660mm tinggi, dengan jarak roda 2,650mm.
Dari segi rekaan, SUV ini tampil dengan ciri-ciri seperti bumbung terapung, arca fender yang berotot serta rekaan lampu berbentuk T di bahagian hadapan dan belakang, selari dengan identiti reka bentuk terkini Mitsubishi.
Di ruangan dalam, Xforce dijangka menampilkan papan pemuka rendah dengan rekaan bersegi dan kemasan fabrik, digandingkan dengan dua skrin utama – paparan meter digital bersaiz 8.0-inci serta skrin infotainmen 12.3-inci.

Pendaftaran minat dibuka
Sebelum tempahan rasmi bermula, MMM telah membuka pendaftaran minat (Register of Interest) kepada orang ramai. Pelanggan yang mendaftar akan menerima:
- Kemas kini produk dan pengumuman eksklusif
- Jemputan ke acara jelajah dan aktiviti berkaitan pelancaran
- Notifikasi awal untuk tempahan
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web rasmi Mitsubishi Motors Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada kempen pra-pelancaran, Mitsubishi Xforce akan dipamerkan menerusi program roving truck yang akan menjelajah beberapa negeri utama bermula 16 Januari 2026.
Jadual ringkas jelajah adalah seperti berikut:
- 16 – 29 Januari 2026: Kuala Lumpur & Selangor
- 5 – 15 Februari 2026: Pulau Pinang, Perak & Johor
- 1 – 15 Mac 2026: Kuantan, Kelantan, Kuala Lumpur & Selangor
Pameran bergerak ini akan memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat Xforce dengan lebih dekat, mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri-cirinya serta mendaftar minat secara terus di lokasi terpilih.
Maklumat lanjut mengenai lokasi tepat dan perkembangan terkini akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi laman web serta saluran media sosial rasmi Mitsubishi Motors Malaysia.









