
POLIS MINTA SAKSI KEMALANGAN MAUT SUKE TAMPIL BANTU SIASATAN
Polis meminta saksi kejadian kemalangan maut penunggang motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, di sini, semalam, untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, usaha mengesan penunggang motosikal melawan arus yang menyebabkan kematian mangsa masih giat dijalankan.
“Suspek dipercayai menunggang motosikal berkuasa rendah dan memakai jaket warna terang serta bertopi keledar warna gelap.
“Polis menggesa orang awam membantu membuat hebahan jika ada saksi atau pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, saksi kejadian boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348.
Terdahulu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memaklumkan sudah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemalangan maut membabitkan penunggang Ducati.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dilaporkan berkata, rakaman video dan bahan bukti lain turut diserahkan bagi membantu siasatan, sekali gus mengesan penunggang motosikal yang melawan arus.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus. – Harian Metro