Buletin

KERETA REMPUH PREMIS SELEPAS TERSALAH TEKAN PEDAL MINYAK

Gara-gara dipercayai tersalah menekan pedal minyak, sebuah kereta meluncur ke hadapan sebelum merempuh sebuah premis perniagaan di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu lelaki tempatan berusia 60 tahun dikatakan baru selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran sebelum masuk ke kenderaannya untuk keluar dari petak parkir.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai tertekan pedal minyak ketika hendak menggerakkan kereta berkenaan.

“Kereta itu kemudian meluncur ke hadapan lalu merempuh sebuah premis perniagaan.

“Dalam keadaan panik, pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah kereta pelbagai guna (MPV) yang diletakkan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk, namun pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, saringan awal air kencing terhadap pemandu terbabit didapati negatif dadah, manakala ujian pernafasan turut dijalankan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Rosdi pada masa sama menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan memberi perhatian sepenuhnya ketika mengendalikan pedal minyak serta brek.

“Pemandu juga perlu memastikan gear berada pada kedudukan betul sebelum menggerakkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, rakaman kejadian tular di media sosial memaparkan sebuah kereta merempuh premis berkenaan sebelum mengundur dengan laju dan melanggar kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir. – Utusan Borneo

Google ads
Back to top button