
JKR SIASAT KEMALANGAN MOTOSIKAL DI ‘LALUAN HIJAU’ LEBUHRAYA PERSEKUTUAN
Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyiasat faktor yang menyumbang kepada kemalangan membabitkan beberapa motosikal di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, di sini, yang tular baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata permukaan di bahagian jalan yang berlaku kemalangan itu sepatutnya menggunakan bahan anti-gelincir.
Bagaimanapun kemalangan tetap berlaku dan beliau dimaklumkan keadaan ketika itu agak basah susulan hujan renyai.
“Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada kemalangan. Ia mungkin bukan berpunca sepenuhnya daripada permukaan jalan. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Kita tidak tahu sama ada mereka bergerak agak laju, mungkin keadaan sesak ketika itu. Kita masih menyiasat apa sebenarnya yang menyumbang kepada kemalangan berkenaan,” katanya selepas menghadiri Future-Ready Green Data Centre Symposium: Sustainable and High-Performance Engineering, di sini, hari ini.
Nanta berkata, JKR sudah melihat lokasi kejadian dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
“Saya dimaklumkan tindakan segera akan diambil bagi memastikan kita melakukan penambahbaikan dan kita akan belajar daripada apa yang berlaku di situ,” katanya.
Nanta turut melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terbabit terutama yang cedera dalam kemalangan berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman beberapa penunggang motosikal didakwa terjatuh ketika melalui laluan berwarna hijau yang basah di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan.
Video berdurasi 42 saat yang dikongsikan menerusi Threads itu memaparkan beberapa motosikal di atas laluan berkenaan, manakala beberapa penunggang dilihat berada di tepi jalan. – Berita Harian







