
SISTEM KUTIPAN TOL SECARA PEMBAYARAN TERBUKA DILAKSANAKAN SEPTEMBER INI, MELIBATKAN 12 PLAZA TOL
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, baru-baru ini menyatakan sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka dijangka dilaksanakan bermula September ini.
Sistem berkenaan akan melibatkan 12 lebuh raya membabitkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
Tambah beliau, ia termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).

“Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka adalah sebagai satu daripada usaha dan inisiatif kerajaan dalam peralihan ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang dijangka dapat direalisasikan secara berperingkat menjelang 2024,” katanya.
Menurutnya, sistem pembayaran terbuka itu bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit untuk memudahkan serta melancarkan laluan di plaza tol.
Beliau berkata semua plaza tol di Lebuhraya SUKE juga direka bentuk dengan mengambil kira pelaksanaan MLFF.
Ketika ditanya sama ada sistem tersebut bakal dilaksanakan di semua lorong tol, Nanta berkata ia dilaksanakan secara berperingkat di semua plaza tol mengikut kesesuaian. – BERNAMA