CHINA BANGUNKAN PIRING TERBANG, MACAM UFO DER!
Piring terbang elektrik yang pertama di dunia dilaporkan merentasi ruang udara Shenzhen, China, baru-baru ini.
Lapor Daily Mail, kenderaan futuristik kendalian pemandu itu kelihatan hampir sama seperti objek terbang tidak dikenali (UFO).
Kenderaan elektrik itu dilaporkan tidak akan membawa individu ke planet lain, sebaliknya direka khas untuk berlepas dan mendarat semula sama ada di permukaan darat atau air di bumi.
Rakaman video menunjukkan piring terbang yang dipandu seorang juruterbang, sedang berlegar-legar di ruang udara di atas sebuah tasik di Shenzhen.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kenderaan futuristik itu mampu membawa penumpang lain.
Laman berita China, Shenzhen Pages berkongsi beberapa gambar memaparkan pesawat berbentuk donat itu di laman Twitter pada minggu ini.
“Selepas lebih tiga tahun melakukan penyelidikan dan pembangunan, Teknologi Piring Terbang UFO Shenzhen berjaya mengeluarkan piring terbang elektrik kendalian pemandu yang pertama di dunia,” jelasnya dalam hantaran.
Berdasarkan laporan Shenzhen Pages, pesawat itu mempunyai struktur kipas bersalur enam lubang dengan 12 bilah kipas.
“Ini membolehkannya meningkatkan aspek keselamatan tiga kali ganda dari segi bekalan kuasa, motor kuasa dan kawalan penerbangan serta lain-lain lagi,” jelasnya.
Menurut laporan itu, kenderaan elektrik tersebut berlepas dan mendarat secara menegak, malah kedua-duanya mampu dilakukan ketika berada di permukaan air atau darat.
“Kenderaan itu boleh terbang sehingga 15 minit, dengan mencapai ketinggian 200 meter pada kelajuan 50 kilometer sejam (km/j).
“Pada masa ini, produk itu digunakan terutamanya untuk tujuan pelancongan bersiar-siar dan persembahan pengiklanan.
“Kenderaan futuristik itu juga sudah memperoleh paten global,” jelasnya. – UTUSAN