Buletin

PROTON BUKA TEMPAHAN SAGA SERBA BAHARU – ANGGARAN HARGA RM40K-RM50K

PROTON secara rasmi membuka buku tempahan untuk Saga Serba Baharu, menandakan kehadiran generasi terbaharu sedan paling lama bertahan dalam barisan model nasional.

Model baharu ini dibangunkan berasaskan Platform Advanced Modular Architecture (AMA) – platform serba baharu yang menjadi asas kepada produk masa depan PROTON.

Bahagian luar menampilkan lampu utama projektor LED penuh, bar lampu belakang LED dan rim aloi 15-inci dua tona. Gril hadapan dengan motif ‘Sulaman Songket’ membawa sentuhan DNA tempatan, seiring dengan elemen rekaan kabin yang dikemaskini bagi memberi suasana lebih moden dan berkualiti.

Tiga varian akan ditawarkan — Standard, Executive dan Premium, dengan lima pilihan warna:

  • Marine Blue,
  • Space Grey
  • Ruby Red
  • Armour Silver
  • Snow White

Kabin pula menerima penambahbaikan ketara dengan pengenalan dwi-skrin 16 inci, gabungan panel meter digital dan sistem infotainmen dalam satu rekaan.

Ia kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ secara tanpa wayar. Lampu utama automatik, fungsi Follow-Me-Home dan pelarasan tahap lampu memberi kemudahan tambahan untuk pemanduan harian.

Saga generasi ini dikuasakan enjin 1.5L i-GT yang digandingkan dengan transmisi CVT baharu. PROTON mendakwa penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC), manakala sistem stereng berkuasa elektrik (EPS) baharu membantu meningkatkan rasa pemanduan.

Dalam aspek keselamatan, Saga Serba Baharu menerima sistem ADAS dengan sembilan fungsi pintar, enam beg udara serta PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) yang menggunakan komponen Hot Press Forming (HPF).

Harga anggaran diumumkan antara RM40,000 hingga RM50,000, bergantung pada varian.

Selain itu, PROTON memberikan ganjaran eksklusif untuk tempahan yang dibuat antara 10 November 2025 hingga pelancaran rasmi, dengan syarat pendaftaran diselesaikan sebelum 31 Disember 2025. Antara tawarannya:

  • Servis percuma 1 tahun atau 20,000 km (termasuk upah dan alat ganti)
  • Kad Touch ‘n Go edisi terhad Saga Serba Baharu

Bagi memeriahkan lagi pra-pelancaran, PROTON akan mengadakan siri jelajah “IKONIK TOGETHER-GATHER” dari 14 hingga 23 November 2025 di pelbagai lokasi utama.

Aktiviti ini menampilkan elemen makanan, gaya hidup dan budaya tempatan, serta penyertaan pempengaruh bagi menghubungkan Saga Serba Baharu dengan komuniti secara lebih dekat.

Google ads
Back to top button