
MULA DARI PIT, NAIK PODIUM P3. MAX POWER + STRATEGY BIJAK REDBULL
Dalam dunia Formula 1, tiada yang lebih malang daripada terpaksa memulakan perlumbaand dari pitlane. Tapi di Grand Prix Brazil 2025, Max Verstappen mengubah keadaan ini, walaupun memulakan perlumbaan dari belakang sepenuhnya, juara dunia tiga kali itu memanjat podium dengan strategi yang hampir sempurna daripada Red Bull Racing.
Perlumbaan di Autódromo José Carlos Pace, atau lebih dikenali sebagai GP Brazil Interlagos, memang terkenal dengan drama. Tapi kali ini, drama datang dari keputusan taktikal yang berisiko tinggi dan keberanian seorang pemandu lagenda yang tak pernah putus asa.
Dari P16 ke pit lane
Segalanya bermula buruk pada sesi kelayakan hari Sabtu buat Max Verstappen apabila gagal menembusi Q2 buat kali pertama sejak 2021, menduduki tempat ke-16 selepas mengadu keretanya “tak ada cengkaman langsung.” Red Bull mengesan masalah pada keseimbangan aerodinamik dan kestabilan belakang, dan ini adalah isu besar di litar teknikal seperti Interlagos.
Dengan kedudukan grid yang sudah jauh ke belakang, Red Bull buat keputusan berani, dengan mengubah setup dan menukar unit kuasa baru sepenuhnya. Tindakan tersebut melanggar peraturan “parc fermé”, dan sebagai hukuman Verstappen terpaksa memulakan perlumbaan dari pit lane.
Ia keputusan yang masuk akal apabila mereka tersangkut di P16, tidak rugi mengambil risiko yang lebih besar.

Permulaan bersih dan strategi tayar pintar
Red Bull tahu peluang utama mereka ialah clean air startegy (ia merujuk kepada keadaan pemandu berada di hadapan kereta lain tanpa ada lawan langsung di hadapan) dan kawalan penuh terhadap strategi. Dengan bermula dari pit lane, Verstappen tak perlu terperangkap dalam kekecohan Turn 1, dan boleh berlumba mengikut rentak sendiri.
Max memulakan saingan dengan tayar Medium (C4), pilihan yang seimbang antara kelajuan dan ketahanan. Tindakan pertama ini penting, bukan untuk memotong sebanyak mungkin, tapi untuk menjaga tayar dan tunggu momentum pelumba lain memasuki pit lebih awal.
Dan itulah yang berlaku. Apabila separuh pelumba grid memasuki pit antara lap 15–25, Max Verstappen perlahan-lahan memotong kedudukan lain, memanfaatkan setiap ruang. Pada satu ketika, dia berlumba dalam top 5 tanpa perlu melalui pertarungan sengit pun.
Pit pertama: langkah strategik, bukan refleks
Red Bull tak ikut pelumba lain masuk pit awal. Mereka tunggu sehingga lap 28, apabila data menunjukkan kadar degradasi medium mula meningkat lebih 0.05 saat per lap. Verstappen dan Red Bull menukar ke tayar Hard (C2), menandakan Red Bull merancang stint panjang kedua.
Di sinilah kelebihan Red Bull menonjol. Dengan tayar keras yang tahan lama, Verstappen kekal stabil sekitar 1:14.5s per lap, sama atau lebih pantas daripada pesaing yang guna tayar lebih lembut. Max berlumba dengan konsisten, tak banyak sliding, dan berjaya jaga suhu tayar dengan baik walaupun tekanan tinggi di sektor tengah Interlagos.
Pit kedua: serangan terakhir
Menjelang pusingan ke 54, Verstappen berjaya memanjat ke P2 yang turut dibantu oleh pit stop Lando Norris. Tapi Red Bull tahu, tayar hard Max hampir sampai had. Data menunjukkan grip mula menurun, dan masa lap meningkat ke 1:15s.
Pasukan Red Bull membuat keputusan penting, masuk pit sekali lagi dan ambil tayar Soft (C5). Ini bermakna Verstappen hilang beberapa posisi, tapi dapat semula kelebihan pace untuk serangan akhir.
Langkah tu membuahkan hasil dimana Verstappen catat beberapa lap di bawah 1:13.5s, hampir setanding dengan Norris yang sedang mendahului perlumbaan. Max potong kereta demi kereta, hingga akhirnya naik ke tempat ketiga di lap akhir. Bukan kemenangan, tapi podium dari pit lane bukan perkara kecil.
Strategi Red Bull: bijak, tenang, dan realistik
Kekuatan sebenar Red Bull dalam perlumbaan ni bukan kelajuan semata-mata, tapi keputusan taktikal yang realistik.
Mereka tahu dengan setup baharu dan perubahan besar pada kereta, Verstappen takkan ada pace penuh untuk lawan Norris secara langsung. Tapi dengan strategi tayar yang bijak bertukar dari medium compound, kepada hard compound dan akhir sekali menyerang dengan soft compound, Red Bull Racing mengubah kerugian grid jadi peluang.
Lebih penting, mereka mengelak kesilapan klasik iaitu berlumba dengan terlalu agresif. Ramai pasukan apabila memulakan perlumbaan dari belakang akan mencuba strategi luar biasa dan akhirnya memusnahkan peluang sendiri. Red Bull sebaliknya tenang, membaca data, dan memilih masa yang tepat untuk pit dan menyerang
Dari pit lane ke podium – bukan sekadar nasib
Verstappen sendiri mengaku selepas perlumbaan: “Saya tak sangka boleh naik podium langsung.” Tapi apabila melihat balik data telemetri perlumbaan, kemenangan ini bukan tuah. Ia hasil gabungan kejuruteraan tepat, strategi bijak, dan pemanduan tenang dari seseorang lagenda yang tahu bila nak tekan, dan bila nak menjaga ketahanan tayar.
Dari P16 ke pit lane, ke podium pada P3 itu jelas bukan sekadar kebangkitan. Dalam F1 moden yang penuh strategi, kemenangan tak semestinya datang dari barisan depan. Kadang-kadang, ia datang dari pasukan yang tahu bila hendak mengambil risiko untuk menang besar.
Link video DI SINI