
TEKNOLOGI AUTOMOTIF GENERASI BARU HONDA – ELEKTRIFIKASI + JOY OF DRIVING!
Sempena acara Japan Mobility Show 2025, Honda Motor Co., Ltd. baru-baru ini turut menganjurkan Bengkel Teknologi Automotif Honda 2025 di litar ujiannya di Tochigi, Jepun khas untuk media automotif antarabangsa.
Di sana, Honda telahpun memperkenalkan pelbagai teknologi generasi baharu yang akan membentuk masa depan model hibrid dan elektrik (EV) syarikat itu menjelang separuh kedua dekad 2020-an.
Antara fokus utama bengkel tersebut ialah:
- Platform baharu untuk model hibrid generasi akan datang.
- Teknologi sistem hibrid-elektrik untuk model hibrid bersaiz besar, khusus untuk pasaran Amerika Utara.
- Teknologi utama yang akan diaplikasikan pada model pengeluaran EV kompak berasaskan Super-ONE Prototype yang membuat penampilan sulung di Japan Mobility Show 2025.

Matlamat Neutral Karbon & Keselamatan Global
Honda terus komited ke atas dua teras utama dalam strategi globalnya iaitu kelestarian alam sekitar dan keselamatan. Pengeluar Jepun itu menyasarkan untuk mencapai neutral karbon bagi semua produk dan operasi korporat, serta sifar kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan Honda menjelang tahun 2050.
Honda juga berhasrat untuk memperkukuh daya saing dalam segmen EV dan HEV melalui elektrifikasi pintar, sambil mengekalkan DNA “Joy of Driving” atau keseronokan memandu yang menjadi identiti setiap kenderaannya.

Platform Hibrid Generasi Akan Datang: Ringan, Kukuh & Modular
Bermula tahun 2027, Honda akan memperkenalkan platform hibrid generasi baharu yang dibangunkan dengan pendekatan “Man Maximum, Machine Minimum (M/M Concept)”. Ia merupakan reka bentuk yang berpusatkan manusia dengan penekanan terhadap keseimbangan antara keselesaan, prestasi dan kecekapan.
Platform ini menggabungkan teknologi inovatif yang memberi keutamaan kepada ketegaran badan, lebih ringan, serta seni bina modular bagi meningkatkan kecekapan pembangunan dan pengeluaran.

Antara kelebihan utama platform baharu ini:
- Ketegaran badan dioptimumkan – meningkatkan kestabilan pemanduan dan kawalan di selekoh, di samping mengurangkan berat struktur tanpa menjejaskan keselamatan.
- Berat dikurangkan sehingga 90kg berbanding platform sedia ada melalui penggunaan bahan ringan dan reka bentuk kejuruteraan baharu.
- Perkongsian komponen lebih 60% di antara pelbagai model untuk menjimatkan kos serta mempercepatkan pembangunan model baharu.
- Sistem pengurusan gerakan (Motion Management System) dan teknologi Pitch Control baharu yang diinspirasikan daripada penyelidikan robotik Honda, memberikan kawalan dinamik lebih responsif dan semula jadi ketika memandu.
Secara keseluruhannya, platform ini dibangunkan bagi memberikan rasa pemanduan yang lebih ‘hidup’, lincah, stabil dan menyeronokkan, walaupun kenderaan itu dijana oleh sistem hibrid atau elektrik.

Sistem Hibrid Besar Generasi Baharu: Untuk Pasaran Amerika Utara
Sebagai sebahagian daripada strategi elektrifikasi global, Honda turut memperkenalkan sistem hibrid berskala besar baharu. Sistem berkenaan akan menjadi nadi utama kepada SUV dan sedan dalam segmen D dan ke atas yang khusus untuk pasaran Amerika Utara.
Sistem itu menampilkan gabungan enjin V6 generasi baharu, unit pacuan elektrik berkecekapan tinggi serta pek bateri kos rendah tetapi berprestasi tinggi.

Antara pencapaian utama sistem ini:
- Penjimatan bahan api lebih 30% berbanding model enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam segmen sama.
- Prestasi pecutan penuh meningkat lebih 10%, hasil kecekapan tinggi pada enjin dan bantuan tork daripada motor elektrik.
- Kawalan tenaga pintar generasi baharu yang menyesuaikan mod pemanduan secara automatik mengikut keadaan jalan, gaya pemanduan dan beban kuasa.
Dengan kombinasi prestasi dan kecekapan ini, Honda mensasarkan sistem hibrid baharu akan menjadi penyelesaian terbaik dalam tempoh peralihan ke arah elektrifikasi penuh sebelum EV menjadi arus perdana.

Super-ONE Prototype: EV Kompak dengan Jiwa Hot Hatch
Model pengeluaran yang berasaskan Super-ONE Prototype bakal menjadi antara pelancaran paling dinanti-nantikan oleh Honda. Ia dijangka dilancarkan di Jepun pada tahun 2026 sebelum diperkenalkan ke pasaran Eropah dan Asia.
Membawa konsep “e: Dash BOOSTER”, model EV kompak ini dibangunkan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menggembirakan. Selain seimbang dari segi keselesaan harian dan prestasi menyeronokkan ala kereta sport kecil.

Antara ciri dinamik yang ada:
- Platform ringan dan pusat graviti rendah hasil adaptasi daripada platform N Series Honda. Ia memberikan kestabilan yang sangat baik dan tindak balas pantas terhadap input pemandu.
- Boost Mode berfungsi meningkatkan output kuasa dan mensimulasikan transmisi 7-kelajuan serta bunyi enjin melalui sistem Active Sound Control bagi meniru pengalaman memandu kereta enjin petrol konvensional.
- Transmisi simulasi pintar mengira kelajuan enjin dan posisi gear secara masa nyata berdasarkan input pemandu dan keadaan jalan, memberikan sensasi tukaran gear dan hentakan pecutan yang realistik.

Hasilnya, Super-ONE bukan sekadar EV kompak biasa, malah mampu menjadi sebuah EV dengan jiwa kereta Honda. Sekali gus mengekalkan DNA fun-to-drive sambil menawarkan kelancaran dan kecekapan pemanduan sebuah kereta elektrik.
Daripada platform baharu hinggalah kepada sistem hibrid dan EV kompak Super-ONE, Honda menunjukkan bahawa elektrifikasi tidak semestinya mengorbankan keseronokan memandu.
Falsafah Enjoy the Drive terus menjadi tunjang kepada setiap pembangunan. Seterusnya memastikan setiap kenderaan Honda sama ada hibrid atau elektrik tetap menawarkan rasa pemanduan yang seimbang di antara teknologi, prestasi dan emosi.
GALERI














