
MERCEDES-BENZ MALAYSIA DAN NZ WHEELS RASMI LANCAR STARS@MERCEDES-BENZ BANGSAR
Mercedes-Benz Malaysia bersama rakan pengedar utamanya, NZ Wheels, memperkenalkan Stars@Mercedes-Benz Bangsar, ruang pamer mewah serba baharu yang kini diiktiraf sebagai yang terbesar seumpamanya di dunia, sekali gus mengangkat standard baharu dalam pengalaman runcit automotif premium.
Menurut CEO & Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia, Amanda Zhang, konsep ini direka untuk mengubah cara pelanggan berinteraksi dengan jenama tersebut.
“Melalui kerjasama dengan NZ Wheels, kami bukan sekadar membina sebuah bilik pameran, tetapi destinasi gaya hidup yang lengkap. Gabungan teknologi digital canggih dan persekitaran yang dirancang teliti menawarkan pengalaman menyeluruh, mencerminkan kemewahan dan inovasi,” katanya.

Menampilkan konsep urban moden yang menjadi perintis global, Stars@Mercedes-Benz Bangsar menyatukan barisan model eksklusif Mercedes-Benz, Mercedes-AMG, Mercedes-Maybach dan G-Class di bawah satu bumbung.
Terletak di lokasi strategik di Bangsar, ruang seluas 1,800 meter persegi ini dilengkapi bilik pelanggan peribadi, paparan digital interaktif serta kemudahan berorientasikan gaya hidup untuk memenuhi cita rasa komuniti Kuala Lumpur.
Diiktiraf sebagai Top-End Showroom, pelanggan dapat menikmati pengalaman runcit yang lebih peribadi melalui pasukan penasihat jualan terlatih untuk setiap subjenama mewah, menawarkan perkhidmatan tersuai dalam suasana eksklusif.

Dengan pelaburan RM5 juta daripada NZ Wheels, ruang dua tingkat ini menyediakan zon pameran khas untuk Mercedes-AMG, Mercedes-Maybach, G-Class dan model mercu Mercedes-Benz.
Tingkat bawah menampilkan rekaan fleksibel dengan sistem dinding modular, logo jenama khusus dan elemen hiasan yang boleh ditukar dalam masa 30 minit, membolehkan ruang tersebut berubah mengikut identiti setiap subjenama.
Tumpuan utama di sini ialah zon MANUFAKTUR, sudut khas di mana pelanggan boleh meneliti pilihan material premium, warna, kemasan dan perincian tersuai untuk mencipta kenderaan idaman dengan sentuhan eksklusif.

Suasana dimantapkan lagi dengan skrin digital bersaiz besar yang memaparkan kandungan visual berkualiti tinggi, menjadikan perjalanan pelanggan lebih mengasyikkan.
Turut tersedia sebuah lounge bergaya kafe untuk sesi perbualan santai serta bilik konsultasi khusus yang dilengkapi alat media digital bagi memudahkan sesi rundingan peribadi.
Di tingkat pertama, pelanggan diperkenalkan kepada konsep baharu pusat runcit digital Mercedes-Benz. Susun atur interaktif dan paparan pintar memudahkan pelanggan meneroka model-model terkini dengan lebih intuitif.

Di sinilah juga terletaknya AMG Performance Center, ruang khusus yang membenarkan peminat prestasi merasai aura Mercedes-AMG secara lebih mendalam.
Pengerusi Kumpulan Naza Automotive Group, Dato’ Jasmy bin Ismail, berkata pembukaan Stars@Mercedes-Benz Bangsar melambangkan komitmen berterusan NZ Wheels untuk menawarkan pengalaman runcit yang premium dan eksklusif.
“Ini bukan sekadar showroom, tetapi destinasi yang menyatukan inovasi, elegan dan layanan peribadi untuk generasi pengguna mewah masa kini,” katanya.

Melengkapi penawaran fizikal dan digital, fasiliti ini turut menyediakan pengecas pantas DC 50kW serta kawasan penyerahan kenderaan digital yang direka bagi menambah baik proses serahan.
NZ Wheels juga merancang untuk membuka pusat servis 2S baharu di Jalan Genting Klang/Setapak pada suku kedua 2026.
Dengan pembukaan Stars@Mercedes-Benz Bangsar, rangkaian NZ Wheels kini meliputi empat lokasi — Klang, Johor Bahru, Setapak dan Bangsar, hasil pelaburan keseluruhan sebanyak RM20 juta untuk meningkatkan pengalaman automotif mewah di seluruh negara.

