Buletin

TOYOTA PERKENALKAN HILUX GENERASI KE-9 – HADIR DENGAN PILIHAN BEV, ICE DAN FCEV

Toyota telah memperkenalkan Hilux generasi kesembilan dalam satu majlis pelancaran global di Bangkok.

Pelancaran ini menandakan kemunculan pertama varian trak pikap elektrik sepenuhnya (Battery Electric Vehicle atau BEV). Selain itu, Toyota turut mengesahkan bahawa varian sel bahan api hidrogen (Fuel Cell Electric Vehicle atau FCEV) akan diperkenalkan pada 2028.

Langkah ini sebahagian daripada strategi Toyota untuk menawarkan pelbagai jenis kuasa elektrik mengikut keperluan pasaran dan ketersediaan tenaga di sesuatu kawasan.

Varian BEV Hilux dilengkapi bateri lithium-ion berkapasiti 59.2kWh yang diletakkan di bawah lantai kenderaan. Ia menggunakan gandar elektrik (eAxles) di hadapan dan belakang yang menghasilkan kuasa 144kW.

Toyota menyasarkan jarak pemanduan sekurang-kurangnya 300 kilometer bagi setiap pengecasan penuh.

Dari segi dimensi, versi pra-pengeluaran yang dipamerkan di Thailand mempunyai panjang 5,320mm, lebar 1,855mm, tinggi 1,800mm, dan jarak roda 3,085mm.

Pacuan empat roda adalah standard bagi model ini. Spesifikasi ini disasarkan untuk pasaran Asia, di mana varian BEV akan diperkenalkan terlebih dahulu.

Bagi varian sel bahan api hidrogen, Toyota mengesahkan ia akan memasuki pasaran Eropah dan Oceania pada 2028.

Model ini menggunakan sistem sel bahan api hidrogen Toyota dan menunjukkan potensi penggunaan tenaga hidrogen bagi kenderaan komersial.

Toyota berharap teknologi ini dapat menyokong pembangunan infrastruktur hidrogen serta memperluas penggunaan tenaga bersih di peringkat serantau.

Hilux baharu mengekalkan gaya badan Double Cab. Rekaan luaran menampilkan konsep “Tough and Agile” dengan lampu utama lebih nipis dan bar tengah yang memaparkan logo TOYOTA.

Varian BEV tidak menggunakan grille tradisional dan dilengkapi rim aloi khas, manakala semua versi kini mempunyai rear deck step dan turut menampilkan side steps baru.

Rekaan dalaman pula diinspirasikan daripada Toyota Land Cruiser terkini. Konsol tengah direka secara mendatar, dilengkapi paparan digital 12.3-inci dan skrin multimedia sehingga 12.3-inci.

Ciri sambungan termasuk pengecas wayarles, port USB terkini, dan akses ke perkhidmatan MyToyota.

Bagi keselamatan, Hilux baharu dilengkapi pelbagai ciri bantuan pemandu, seperti;

  • Low Speed Acceleration Suppression
  • Proactive Driving Assist
  • Emergency Driving Stop System
  • Blind Spot Monitoring
  • Safe Exit Assist
  • Driver Monitor Camera

Toyota juga menyokong kemas kini over-the-air supaya sistem keselamatan dan prestasi sentiasa dikemaskini sepanjang hayat kenderaan.

Hilux BEV mengekalkan rangka badan tradisional (body-on-frame) dan kemampuan luar jalan. Sistem Multi-Terrain Select menyesuaikan tork dan brek mengikut permukaan, memberikan kawalan setanding dengan mod L4 pada versi diesel.

Perincian lain termasuklah data awal yang menunjukkan kapasiti muatan sekitar 715kg dengan kemampuan menunda 1,600kg.

Sementara itu, Hilux 2.8D 48V yang diperkenalkan pada 2025 akan menjadi model utama di Eropah mulai pengeluaran musim bunga 2026.

Ia menggunakan kombinasi bateri 48V, motor-generator, dan DC-DC converter bersama enjin 2.8 liter, menyokong muatan sehingga satu tan dan kemampuan menunda 3,500kg.

Komponen dipasang tinggi mengekalkan kemampuan melintas air 700mm, manakala Multi-Terrain Select dan sistem kamera canggih menyokong pelbagai keadaan pemanduan.

Google ads
Back to top button