
PROTON e.MAS 5 KINI KE KEDUDUKAN LIMA KENDERAAN PALING LARIS
PRO-NET, anak syarikat kepada pengeluar automotif nasional PROTON, merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia susulan pencapaian penting jenama Proton e.MAS dalam pasaran kenderaan elektrik (EV).
Didorong keyakinan pengguna terhadap mobiliti elektrik, Proton e.MAS kini muncul sebagai jenama EV nombor satu di Malaysia, disokong prestasi jualan awal tahun dan momentum tempahan yang memberangsangkan bagi rangkaian EV serta PHEV.
Dalam bulan pertama penghantaran, sebanyak 3,068 unit Proton e.MAS 5 diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara, sekali gus menjadikannya model EV paling laris di Malaysia.
Lebih membanggakan, Proton e.MAS 5 turut tersenarai dalam kelompok lima kenderaan paling laris pada bulan tersebut.

Model ini mencatat pegangan pasaran 49.2 peratus bagi BEV, selain menyumbang 4.5 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan.
Menurut PRO-NET, tarikan utama Proton e.MAS 5 terletak pada ciri praktikal, pengalaman pemanduan yang menyeluruh serta harga yang kompetitif untuk kegunaan harian.
Selain itu, teknologi pintar yang ditawarkan turut meningkatkan kemudahan dan keselesaan pengguna di jalan raya.
Dari segi pilihan warna, Moonstone White menjadi pilihan paling popular, diikuti Marble Cream dan Quartz Rose.

Bagi meraikan pencapaian ini, PRO-NET memperkenalkan promosi khas sempena musim perayaan.
Dari 14 hingga 22 Februari 2026, pemilik Proton e.MAS dan smart Malaysia boleh menikmati diskaun sehingga 25 peratus caj pengecasan apabila menggunakan Aplikasi Proton e.MAS atau Aplikasi Hello smart.
Tawaran ini membolehkan akses mudah ke lebih 4,300 poin pengecasan di seluruh negara.
Selain itu, manfaat selepas jualan turut ditawarkan dari 1 Februari hingga 31 Mac 2026 di 36 Pusat 3S Proton e.MAS seluruh Malaysia, termasuk pemeriksaan kenderaan percuma, baucar servis RM50, cuci kereta percuma, pengecasan percuma sehingga 80 peratus serta pek Angpao percuma.
Tempahan Proton e.MAS 5 atau Proton e.MAS 7 PHEV kini boleh dibuat dengan hanya RM99 menerusi laman web rasmi atau dengan mengunjungi mana-mana daripada 48 bilik pameran Proton e.MAS di seluruh negara.









