
PROTON e.MAS 5 CATAT 1,607 TEMPAHAN DALAM MASA 24 JAM
Model kenderaan elektrik (EV) mampu milik pertama negara, Proton e.MAS 5, mencetuskan fenomena apabila menerima 1,607 tempahan hanya dalam tempoh 24 jam selepas dibuka secara rasmi pada 4 Oktober lalu.
Angka tersebut diumumkan oleh Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh PROTON, selepas sesi siaran langsung khas bertemakan “Open for Booking” yang diadakan di Proton e.MAS Nilai pada Sabtu lepas.
Siaran berkenaan, yang disiarkan serentak di lapan platform TikTok dan satu halaman Facebook termasuk saluran rasmi Proton e.MAS, berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia dengan 572,000 tontonan secara langsung, dan kini telah mencatat lebih 1 juta tontonan keseluruhan.
Dengan anggaran harga antara RM60,000 hingga RM80,000, Proton e.MAS 5 membuktikan komitmen PROTON untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat.

Walaupun bersaiz kompak seperti kenderaan segmen B, ruang kabinnya luas setanding segmen C, memberikan keseimbangan antara praktikaliti, keselesaan dan kecekapan.
Model ini turut menampilkan pusingan radius terbaik dalam kelasnya, sistem pacuan roda belakang yang stabil, serta paparan status pengecasan yang intuitif, menjadikannya mudah dipandu di jalan bandar.
Tempah dengan RM99 sahaja
Rakyat Malaysia kini boleh mendaftar minat atau membuat tempahan Proton e.MAS 5 melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau di mana-mana 43 wakil pengedar Proton e.MAS di seluruh negara.
Tempahan hanya memerlukan bayaran RM99, dengan pelanggan awal berpeluang menerima:
- Kad Proton e.MAS Touch ‘n Go edisi terhad bernilai RM100
- Rebat RM500 daripada yuran tempahan (untuk 5,000 pelanggan pertama)
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Proton e.MAS atau ikuti mereka di media sosial.






