Buletin

PROTON e.MAS 5 TAMATKAN JELAJAH MISI 5, PELANCARAN TAK LAMA LAGI

PRO-NET (Proton New Energy Technology Sdn Bhd) kini menutup tirai bagi siri Jelajah MISI 5, sebuah kempen jelajah nasional yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat lebih dekat model Proton e.MAS 5.

Dilaksanakan dari Ogos hingga Oktober tahun ini, siri jelajah tersebut meliputi 42 hentian di 13 negeri dan 29 bandar utama, merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar serta komuniti luar.

Matlamatnya jelas, membawa pengalaman dunia EV terus kepada rakyat, bukan sekadar di bilik pameran tetapi di tengah-tengah kehidupan seharian mereka.

Sepanjang perjalanan MISI 5, pengunjung diberi peluang mencuba pelbagai aktiviti interaktif dan cabaran menarik, selain menyaksikan sendiri reka bentuk moden serta teknologi pintar Proton e.MAS 5.

Jelajah ini turut melibatkan 20 pengedar rasmi Proton e.MAS di seluruh negara dengan laluan meliputi:

  • Lembah Klang – 8–10 & 15–17 Ogos
  • Utara (Pulau Pinang, Perak, Kedah) – 21–25 Ogos
  • Pantai Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan) – 4–8 September
  • Selatan (Johor, Negeri Sembilan, Melaka) – 13–21 September
  • Sabah & Sarawak – 25 September–5 Oktober

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Encik Zhang Qiang, menjelaskan bahawa Jelajah MISI 5 bukan sekadar kempen pemasaran, sebaliknya satu inisiatif nasional untuk memperkenalkan dan menormalisasikan teknologi EV dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami mahu menjadikan kenderaan elektrik sesuatu yang boleh diakses dan difahami oleh semua. Dari maklum balas yang kami terima, ramai pengunjung pertama kali melihat dan mencuba EV, dan mereka amat teruja. Ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin bersedia untuk beralih ke arah mobiliti hijau,” jelas beliau.

Sambutan sepanjang jelajah amat menggalakkan, daripada golongan muda profesional hingga keluarga yang mencari pilihan mobiliti lebih lestari.

Di antara pengunjung, Sharmaine Alexander dari Setia Alam berkongsi pengalamannya:

“Proton e.MAS 5 ini benar-benar membuka mata saya. Ia bukan sekadar EV mampu milik, tapi sebuah kereta yang praktikal dan bergaya. Tak sangka teknologi sebegini boleh hadir dari jenama tempatan.”

Siaran langsung khas pada 4 Oktober lalu yang mengumumkan pembukaan tempahan e.MAS 5 turut mencatat lebih 572,000 tontonan di seluruh negara.

Acara itu disiarkan melalui saluran rasmi Proton e.MAS serta disokong oleh pempengaruh gaya hidup dan teknologi tempatan, membuktikan minat yang tinggi terhadap model baharu ini.

Dengan berakhirnya Jelajah MISI 5, debaran kini tertumpu kepada pelancaran rasmi Proton e.MAS 5 pada 30 Oktober ini, yang dijangka menampilkan pelbagai pengumuman menarik termasuk siaran langsung dan sesi pandu uji di seluruh negara.

Bagi mereka yang belum berbuat demikian, tempahan awal masih dibuka dengan bayaran hanya RM99, terhad kepada 5,000 pelanggan terawal.

Google ads
Back to top button