Buletin

PROTON e.MAS 5 RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM59K

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh PROTON, hari ini melancarkan model elektrik yang dinanti ramai, Proton e.MAS 5, SUV elektrik kompak yang menjadi model kedua dalam barisan e.MAS selepas e.MAS 7.

Model ini dibina berasaskan Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) milik Geely, platform serba moden yang turut digunakan oleh e.MAS 7. Ia ditawarkan dalam dua varian, Prime dan Premium.

Dari segi saiz, e.MAS 5 berukuran 4,135mm panjang, 1,805mm lebar dan 1,570mm tinggi, dengan jarak roda 2,650mm.

Pilihan warna yang ditawarkan termasuk Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey untuk semua varian, manakala warna eksklusif Marble Cream dan Quartz Rose hanya ditawarkan untuk varian Premium.

Bahagian dalaman varian asas menerima kemasan Flint Grey, sementara pembeli varian Premium dengan warna luaran eksklusif akan menikmati kabin berwarna Alabaster White.

Bagi varian Prime, ia dilengkapi dengan ciri asas seperti lampu halogen, rim 16-inci, tempat duduk larasan manual, serta penyaman udara manual dengan liang hembusan belakang.

Varian Premium pula menampilkan kelengkapan seperti lampu LED penuh, bumbung hitam dua tona, rim aloi 16-inci dua warna, kamera 360-darjah, enam pembesar suara, dan pintu belakang dengan bantuan kuasa (power tailgate).

Sistem infotainmen didominasi skrin besar 14.6-inci yang menggunakan Atlas OS, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Fungsi arahan suara Bahasa Melayu “Hi e.MAS” turut disertakan bersama sistem navigasi khas untuk mencari stesen pengecas terdekat.

Praktikaliti juga menjadi kekuatan utama e.MAS 5. Ia menawarkan ruang but 375 liter yang boleh diperluas sehingga 1,320 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Tambahan pula, terdapat 32 ruang simpanan kecil di sekeliling kabin, termasuk frunk 70L, ruang bawah konsol 20L, laci 10L, serta ruang tersembunyi 28L di bawah tempat duduk belakang.

Proton e.MAS 5 merupakan model pertama Proton dengan pacuan roda belakang (RWD).

  • Varian Premium menggunakan motor elektrik tunggal 116PS dan 150Nm, dipacu oleh bateri LFP CATL 40.16kWj, memberikan jarak sehingga 325km (WLTP) dan pecutan 0-100km/j dalam 3.9 saat, dengan kelajuan maksimum 135km/j.
  • Varian Prime pula menampilkan motor berkuasa 79PS dan 130Nm, dengan bateri 30.12kWj, menawarkan jarak pemanduan 225km (WLTP) dan kelajuan maksimum 125km/j.

Sistem pengecasan pantas DC 71kW membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80 peratus dalam hanya 21 minit, manakala pengecasan AC 6.6kW sesuai untuk penggunaan di rumah.

Dari segi keselamatan, e.MAS 5 Premium dipasang dengan enam beg udara serta rangkaian sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Lane Change Assist (LCA) dan lain-lain.

Untuk harga pula Proton e.MAS 5 ditawarkan pada harga bermula RM59,800 bagi varian asas Prime, dan RM72,800 untuk varian tertinggi Premium, atas jalan tanpa insurans.

Sempena pelancaran, terdapat tawaran Istimewa ditawarkan untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025.

Proton memberikan diskaun tambahan sebanyak RM3,000, menjadikan varian Prime boleh dimiliki pada harga RM56,800 dan varian Premium pula pada harga RM69,800.

Proton memberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat selama lapan-tahun atau 160,000km.

Bukan itu sahaja, pembeli akan diberikan pengecas rumah 7 kW yang bernilai RM1,500 secara percuma, dan pakej data internet tanpa had untuk lima-tahun bernilai RM1,800 juga secara percuma.

GALERI:

Google ads
Back to top button